SELEPAS wujudnya virus COVID-19, pelbagai perubahan atau norma baharu yang boleh dilihat antaranya pelitup muka dan cecair pembasmi kuman mula dijual dan disediakan di kedai runcit mahupun pusat beli-belah.

Ini termasuk kit ujian saringan COVID-19 yang akan tersedia di pusat beli-belah sebagai langkah membendung penularan wabak tersebut.

Di Jerman, rangkaian pasar raya Aldi mula menjual alat ujian saringan COVID-19 yang boleh digunakan tanpa perlu ke hospital atau berjumpa petugas kesihatan.

Alat tersebut mula disediakan dan ia hanya terhad kepada satu pek bagi setiap pelanggan.

Kit ujian saringan pantas itu dijual pada sekitar harga 25 euro atau RM121 setiap satu.

Beberapa pasar raya lain di negara itu dilaporkan turut akan mengikut jejak langkah tersebut memandangkan ia bakal menjadi satu keperluan ramai selepas ini.

Pada 24 Februari lalu, Jabatan Persekutuan Dadah dan Perubatan mengeluarkan kelulusan khas pertama untuk ujian diri dan setakat ini sebanyak tujuh jenama kit ujian telah diberi kebenaran khas.