DUNIA
Jetstar Asia hentikan operasi mulai 31 Julai

Jetstar Asia akan menamatkan operasinya secara rasmi pada 31 Julai ini susulan tekanan kos pembekal yang meningkat, caj lapangan terbang yang lebih tinggi serta persaingan sengit dalam kalangan syarikat penerbangan tambang rendah di rantau ini.
SYARIKAT penerbangan tambang rendah yang berpangkalan di Singapura, Jetstar Asia akan menamatkan operasinya secara rasmi pada 31 Julai ini, menurut syarikat induk Qantas dalam kenyataan pada Rabu.
Penutupan ini susulan tekanan kos pembekal yang meningkat, caj lapangan terbang yang lebih tinggi serta persaingan sengit dalam kalangan syarikat penerbangan tambang rendah di rantau ini.
Sepanjang tujuh minggu akan datang, Jetstar Asia akan terus beroperasi sebelum ditutup sepenuhnya.
Pelanggan yang telah menempah tiket bagi penerbangan yang dibatalkan akan ditawarkan bayaran balik penuh dan Qantas akan cuba menempatkan semula penumpang ke syarikat penerbangan lain jika perlu.Menurut jurucakap Jetstar Asia kepada CNA, lebih daripada 500 kakitangan bakal kehilangan pekerjaan akibat penutupan ini.
Bagaimanapun, mereka akan diberikan pampasan pemberhentian serta sokongan penempatan kerja oleh Qantas termasuk peluang pekerjaan dalam kumpulan syarikat atau bersama syarikat penerbangan lain di rantau ini.
16 laluan terjejas
Sebanyak 16 laluan intra-Asia akan terjejas susulan penutupan ini. Jetstar Asia ketika ini mengendalikan penerbangan dari Singapura ke destinasi di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, China, Sri Lanka, Jepun dan Australia.
Walau bagaimanapun, operasi Jetstar Airways di Australia dan New Zealand, serta Jetstar Japan, tidak akan terjejas.
Qantas turut memaklumkan, 13 pesawat Airbus A320 milik Jetstar Asia akan dipindahkan secara berperingkat ke Australia dan New Zealand.
Kos operasi semakin menekan
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qantas, Vanessa Hudson, peningkatan kos pembekal – ada yang melonjak sehingga 200 peratus – telah mengubah asas kos operasi Jetstar Asia, menjadikannya tidak lagi mampan untuk bersaing di rantau ini.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan Jetstar Asia atas sumbangan luar biasa mereka terhadap industri penerbangan di rantau ini selama lebih dua dekad,” katanya.
Hudson turut menambah bahawa Qantas kini sedang melaksanakan pelan pembaharuan armada paling besar dalam sejarahnya, dengan hampir 200 pesanan pesawat baharu dan pelaburan ratusan juta dolar untuk menaik taraf armada sedia ada.
Jetstar Asia ditubuhkan lebih dua dekad lalu oleh Qantas untuk merebut permintaan meningkat terhadap penerbangan tambang rendah di Asia.
Namun, persaingan yang semakin sengit daripada syarikat seperti AirAsia dan Scoot (anak syarikat Singapore Airlines) telah menjejaskan kedudukan pasaran Jetstar Asia.
Penutupan ini dijangka menjimatkan A$500 juta (kira-kira RM1.56 bilion), yang akan digunakan semula untuk pelan pembaharuan armada Qantas.
Untuk tahun kewangan semasa, Jetstar Asia dijangka mencatat kerugian operasi sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak A$35 juta. - CNA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami