Skip to main content

Malaysia

99,128 tiket feri Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi terjual sempena Aidiladha, cuti sekolah

51631974764_TBFERIKUALAKEDAH.jpg
Pengoperasian feri penumpang bermula 7 pagi hingga 7 malam dan akan dilanjutkan hingga 10 malam tertakluk kepada permintaan penjualan tiket atas talian yang tinggi. - Gambar fail

ALOR SETAR: Sebanyak 99,128 tiket feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi serta sebaliknya telah terjual setakat ini bersempena sambutan Aidiladha dan cuti sekolah.

Pengurus Operasi Konsortium Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata 120 trip perjalanan normal yang dirancang dan 53 trip tambahan tersedia mulai 21 Mei hingga 7 Jun depan.

“Dianggarkan 100,000 orang pengunjung akan menggunakan perkhidmatan feri penumpang dengan memasuki kedua-dua laluan iaitu Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi dan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi. Sebanyak 99,128 tiket telah terjual melalui penjualan tiket atas talian, kaunter dan tempahan.

“Pengoperasian feri penumpang bermula 7 pagi hingga 7 malam dan akan dilanjutkan hingga 10 malam tertakluk kepada permintaan penjualan tiket atas talian yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun dengan krisis geopolitik global dan kos bahan bakar yang tinggi, ia tidak menjejaskan pengunjung untuk memasuki pulau lagenda itu dengan memilih pakej percutian yang terdapat di Langkawi.

“Bagi mengelakkan tiket kehabisan, pengunjung dinasihatkan supaya membeli tiket di atas talian menerusi aplikasi Cuti-Cuti Langkawi.

“Pihak kami akan memastikan pengoperasian feri penumpang berada pada tahan kesiagaan yang tinggi sepanjang musim cuti sekolah dan Aidiladha ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement