DUNIA
Jumlah pelancong antarabangsa ke AS menurun susulan dasar era Trump

Perbelanjaan pelawat antarabangsa di AS jatuh kepada bawah AS$169 bilion tahun ini, berbanding AS$181 bilion pada 2024. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Jumlah kedatangan pelancong asing ke Amerika Syarikat (AS) terus mencatatkan penurunan, dengan pakar mengaitkan trend itu kepada retorik serta dasar ketat pentadbiran Presiden Donald Trump.
Data awal kerajaan menunjukkan kedatangan pelancong asing ke AS pada Julai 2025 merosot sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Penurunan itu menyambung trend yang berlaku hampir setiap bulan sejak Trump kembali memegang jawatan pada Januari lalu.
“Ramai yang takut, bimbang – terlalu banyak isu politik berkaitan imigresen,” kata Luise Francine, seorang pelancong dari Brazil kepada Al Jazeera.Pakar berpendapat, dasar Trump seperti tarif perdagangan, tindakan keras terhadap imigresen, serta kenyataan provokatif berhubung Kanada dan Greenland telah menjejaskan minat pelancong antarabangsa.
Menurut firma penyelidikan Tourism Economics, AS dijangka menerima 8.2 peratus kurang pelawat antarabangsa pada 2025.
Angka itu lebih baik berbanding ramalan awal penurunan 9.4 peratus, namun masih jauh lebih rendah berbanding sebelum pandemik COVID-19.
Firma itu turut memberi amaran bahawa tempahan penerbangan menunjukkan kelembapan ketara pelancongan masuk pada Mei hingga Julai berkemungkinan berterusan dalam bulan-bulan mendatang.
Statistik juga menunjukkan bilangan pelawat dari Kanada, antara pasaran utama, merosot dengan ketara – suku lebih rendah berbanding tahun lalu.
Malah, buat kali pertama dalam hampir dua dekad, lebih ramai warga AS memandu masuk ke Kanada pada Jun dan Julai berbanding sebaliknya.
Sebaliknya, Mexico mencatatkan peningkatan, dengan pelancongan dari Amerika Tengah dan Selatan masing-masing naik 3 peratus dan 0.7 peratus sehingga Mei.
Namun, kedatangan dari Eropah Barat merosot 2.3 peratus.
Bagi 10 negara penyumbang utama pelancong ke AS, hanya Jepun dan Itali mencatatkan pertumbuhan pada Julai. India merosot 5.5 peratus manakala China hampir 14 peratus.
Hubungan diplomatik tegang akibat perang perdagangan dan isu pelajar asing antara AS-China turut memburukkan keadaan.
Industri pelancongan AS kini berdepan cabaran berlapis termasuk kos perjalanan yang semakin tinggi, ketidaktentuan politik dan ketegangan geopolitik global, kata Deborah Friedland dari firma perkhidmatan kewangan Eisner Advisory Group.
Trump turut menghidupkan semula dasar keras dari penggal pertamanya – antaranya larangan perjalanan ke atas beberapa negara Afrika dan Timur Tengah, peraturan lebih ketat visa, serta operasi besar-besaran membanteras pendatang tanpa izin.
Mulai 1 Oktober ini, caj baharu bernilai AS$250 atau “visa integrity fee” akan dikenakan kepada pelancong dari negara bukan pengecualian visa seperti Mexico, Argentina, India, Brazil dan China.
Caj tambahan itu menjadikan jumlah kos permohonan visa meningkat kepada AS$442, antara yang tertinggi di dunia.
“Setiap halangan tambahan akan memberi kesan kepada jumlah pelancong,” kata Gabe Rizzi, Presiden Altour, sebuah syarikat pengurusan pelancongan global.
Majlis Pelancongan dan Pelancongan Dunia (WTTC) pula mengunjurkan perbelanjaan pelawat antarabangsa di AS jatuh kepada bawah AS$169 bilion tahun ini, berbanding AS$181 bilion pada 2024.
Malah, menurut laporan WTTC pada Mei lalu, AS dijangka menjadi satu-satunya negara daripada 184 yang dikaji menyaksikan penurunan perbelanjaan pelancong asing pada 2025.
WTTC menyifatkan dapatan itu sebagai “petunjuk jelas” bahawa daya tarikan global Amerika Syarikat semakin merosot. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami