DUNIA
Jururawat New Zealand mogok bantah tawaran gaji dan kekurangan kakitangan

Tawaran gaji oleh pihak berkuasa kesihatan awam, Health New Zealand, tidak memuaskan hati jururawat. - Facebook / New Zealand Nurses Organisation - NZNO
WELLINGTON: Lebih 36,000 jururawat, bidan dan pembantu penjagaan kesihatan di seluruh New Zealand memulakan mogok selama 24 jam bermula pagi Rabu selepas rundingan mengenai gaji dan pengambilan kakitangan gagal mencapai kata sepakat, lapor Xinhua.
Difahamkan tawaran gaji oleh pihak berkuasa kesihatan awam, Health New Zealand, tidak memuaskan hati jururawat dan kekurangan kakitangan kini menjadi kebimbangan utama.
Penyiar nasional Radio New Zealand melaporkan, Health New Zealand menawarkan kenaikan gaji tiga peratus dalam tempoh 27 bulan, manakala Organisasi Jururawat New Zealand (NZNO) mengemukakan tawaran balas dengan lima peratus kenaikan dalam tempoh dua tahun.
Sementara itu, data yang diperoleh oleh NZNO daripada Health New Zealand menunjukkan wad pembedahan di hospital kekurangan kakitangan lebih daripada separuh bagi syif 24 jam tahun lepas.Ketua Eksekutif NZNO, Paul Goulter, menuduh pihak berkuasa gagal memenuhi permintaan pengambilan segera bagi jawatan yang dikenal pasti penting untuk memastikan bilangan kakitangan yang mencukupi dan selamat.
"NZNO menyuarakan kebimbangan berhubung kekurangan kakitangan yang kronik dan berterusan sepanjang proses rundingan perjanjian kolektif yang bermula sejak September lepas," kata Goulter.
Mogok ini melibatkan penghentian kerja sepenuhnya di semua lokasi di negara ini di mana Health New Zealand menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan atau hospital, menurut NZNO.
Bagaimanapun, perkhidmatan menyelamat nyawa akan terus disediakan. "Orang awam boleh yakin yang kami mempunyai perjanjian dengan NZNO untuk menyokong perkhidmatan menyelamat nyawa sepanjang mogok ini, dan hospital serta jabatan kecemasan kami akan kekal dibuka," kata Ketua Eksekutif Health New Zealand, Dr. Dale Bramley.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami