MEKAH: Jutaan jemaah dari seluruh dunia berkumpul di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada malam ke-27 Ramadan untuk menunaikan ibadah tarawih dan amalan berkaitan.

Malam ke-27 Ramadan ini memiliki makna khusus dan cukup signifikan bagi umat Islam, kerana diyakini sebagai salah satu malam terbaik dalam setahun serta sering dikaitkan dengan malam Lailatul Qadar.

Dilaporkan sejumlah 3 juta jemaah melaksanakan ibadah tarawih di Masjidil Haram dan ribuan pegawai serta petugas kesihatan ditugaskan bagi memastikan kelancaran para jemaah.

Ketua Umum Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Syeikh Al-Sudais, berkata segala urusan pergerakkan jemaah berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesesakan dan dalam keadaan yang selesa.

"Walaupun berjuta-juta jumlahnya, kami telah memaksimumkan penyelarasan dengan sistem keselamatan yang baik menyebabkan ketiadaan kesesakan, Alhamdulillah," katanya.

Selain itu, kerja pembersihan, pembasmian kuman dan pensterilan telah digandakan dan jumlah petugas pembersihan telah ditingkatkan sepanjang masa untuk memenuhi peningkatan jumlah jemaah

Dalam pada itu, dianggarkan hampir 1 juta jemaah melaksanakan ibadah tarawih di Masjid Nabawi dalam keadaan terkawal dengan kapasiti yang penuh.

Timbalan Presiden Agung bagi Eksekutif dan Hal Ehwal Lapangan di Masjid Nabawi, Abdulaziz Bin Ali Al–Ayoubi, mengesahkan bahawa agensi perkhidmatan dan lapangan telah mempersiapkan Masjid Nabawi pada kapasiti penuh.

Ia termasuk menyediakan semua perkhidmatan terbaik dan berkualiti untuk pelawat dan jemaah.