DUNIA

Kabinet Bulgaria letak jawatan sebelum undi tidak percaya di tengah protes besar-besaran

Bernama 11/12/2025 | 21:00 MYT
Zhelyazkov mengumumkan peletakan jawatan Kabinetnya pada sidang media di Parlimen Bulgaria, Sofia, Bulgaria, 11 Dis 2025. (Foto AP)
ISTANBUL: Perdana Menteri Bulgaria Rosen Zhelyazkov mengumumkan peletakan jawatan Kabinetnya pada Khamis, sebelum pengundian usul undi tidak percaya dijalankan di tengah-tengah protes antikerajaan berskala besar di seluruh negara, lapor Anadolu Ajansi, memetik laporan Agensi Berita Bulgaria.

Zhelyazkov mengumumkan peletakan jawatan itu pada satu sidang media kecemasan di parlimen, yang ketika itu hampir mengadakan undian usul tidak percaya terhadap kerajaan.

Negara itu menyaksikan protes besar-besaran terhadap kerajaan berikutan rancangan belanjawan Kabinet yang kontroversi, yang kemudian berkembang menjadi ketidakpuasan yang lebih meluas berhubung dakwaan rasuah kerajaan.

Minggu lalu, Presiden Bulgaria Rumen Radev turut menyatakan yang peletakan jawatan kerajaan adalah "tidak dapat dielakkan" dan pilihan terbaik adalah mengadakan pilihan raya mengejut, susulan protes besar-besaran terhadap dasar belanjawan Kabinet dan dakwaan rasuah yang meluas.

-- BERNAMA

#undi tidak percaya #protes #bulgaria #letak jawatan