RIZAB Persekutuan Amerika Syarikat pada Rabu menaikkan kadar faedah sebanyak suku mata peratusan, menjadikannya di ambang antara 4.75 hingga 5 peratus, teringgi sejak 2007. 

Ini sekali gus menjadi penanda aras baharu ditetapkan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS dalam beberapa siri kenaikan sejak 16 Mac lalu.

Namun, The Fed memberi indikasi bahawa ia bakal menghentikan peningkatan pada masa akan datang di tengah-tengah kegawatan pasaran kewangan baru-baru ini yang didorong oleh kejatuhan dua bank di AS.

Pengerusi The Fed, Jerome Powell membuka sidang akhbar selepas mesyuaratnya dengan ucapan tertumpu pada krisis perbankan baru-baru ini.

Beliau berusaha untuk meyakinkan pendeposit, pengguna dan perniagaan bahawa sistem itu kukuh selepas beberapa tindakan yang diambil oleh bank pusat dan pengawal selia lain sejak dua minggu lalu.

"Jawatankuasa akan memantau dengan teliti maklumat terkini dan menilai implikasi untuk dasar monetari akan datang.

"Jawatankuasa juga menjangkakan bahawa beberapa pengukuhan dasar tambahan mungkin sesuai untuk mencapai pendirian dasar monetari untuk mengembalikan inflasi kepada paras 2 peratus dari semasa ke semasa.

"Proses menurunkan semula inflasi kepada 2 peratus masih jauh dan ia dijangka tidak mudah," kata pemimpin bank pusat itu.

Kegawatan itu, bagaimanapun, mungkin akan menjejaskan pertumbuhan dan prospek ekonomi, katanya, dengan peristiwa baru-baru ini berkemungkinan mengakibatkan keadaan kredit yang lebih ketat untuk isi rumah dan perniagaan.

kenyataan dasar terbaharu The Fed itu secara jelas mengatakan bahawa kenaikan berterusan dalam kadar tersebut mungkin sesuai.

Walaupun terlalu awal untuk menentukan kesan kepada keputusan tersebut, Powell berkata adalah wajar untuk meneruskan kenaikan kadar pada mesyuarat ini.