GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Akhir Draf Rancangan Tempatan Penang Silicon Island (RTPSI) 2050 yang dirangka khusus bagi kawasan greenfield atau pembangunan tebus guna sepenuhnya.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata RTPSI 2050 yang merupakan Rancangan Tempatan pertama di Malaysia itu menyaksikan integrasi pangkalan data Sistem Maklumat Geografi dan Pemodelan Maklumat Bangunan (GeoBIM), iaitu sebuah revolusi digital yang menjadikan dokumen perancangan lebih fleksibel, adaptif dan mesra pelabur.
Advertisement
"Pembangunan Pulau Silikon dilihat sebagai satu kanvas baharu untuk negeri ini merangka bandar raya masa hadapan yang progresif, mampan dan berdaya tahan," katanya ketika berucap merasmikan program publisiti dan penyertaan awam laporan akhir draf RTPSI 2050 di sini.
Beliau berkata Pulau Silikon bukan sekadar projek penambakan tanah, sebaliknya merupakan "kanvas baharu" untuk membina model bandar raya masa hadapan yang seimbang antara kemajuan ekonomi pesat dan kelestarian alam sekitar.
Chow bekata pulau buatan itu disasarkan menjadi Global Gateway dengan keluasan kira-kira 930.777 hektar yang mampu menangani kekurangan tanah perindustrian dengan sumbangan impak ekonomi dijangka sehingga RM1.1 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2050.
Beliau berkata sebanyak 220,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan merangkumi sektor teknologi tinggi, ekonomi kreatif dan perkhidmatan moden, justeru orang ramai diseru mengambil peluang sepanjang tempoh publisiti hingga 8 Mei ini untuk mengemukakan pandangan sebagai rakan pencipta pembangunan Pulau Silikon.
Pulau Silikon ialah projek penambakan milik Pulau Pinang yang dibangunkan kerajaan negeri untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
-- BERNAMA