SEOUL: Jawatankuasa Presiden Korea Selatan khusus bagi menangani masyarakat menua, melancarkan pasukan perancang dasar pada Isnin, dengan matlamat untuk mengukuhkan hubungan antara kementerian mengenai dasar penduduk berikutan kadar kelahiran yang sangat rendah, lapor agensi berita Yonhap.

Langkah itu diambil ketika kadar kesuburan di Korea Selatan, dengan purata bilangan anak yang dilahirkan sepanjang hayat seorang wanita mencecah rekod terendah sebanyak 0.78 pada 2022, jauh lebih rendah berbanding tahap penggantian 2.1 yang akan mengekalkan populasi Korea Selatan stabil pada 51 juta.

Jawatankuasa Presiden mengenai Masyarakat Menua dan Dasar Penduduk menyatakan negara itu berada pada tahap untuk memasuki masyarakat "super-tua" pada 2025, dengan warga emas berumur 65 tahun ke atas mencecah 20 peratus daripada jumlah penduduk.

Pasukan baharu itu akan diketuai bersama oleh kementerian kewangan dan kesihatan.

Pasukan itu akan menyemak dan mempromosi dasar yang bukan sahaja menangani kadar kelahiran yang rendah dan cabaran yang timbul disebabkan masyarakat yang semakin tua, bahkan dapat mengurus perubahan dalam struktur populasi secara berkesan.

"Kami merancang untuk menganalisis secara menyeluruh dan menangani kesan sosioekonomi dan risiko perubahan struktur penduduk," menurut Naib Menteri Kewangan I, Bang Ki Sun.

Beliau berkata kerajaan akan mengumumkan butiran dasar-dasar yang sedang dirancang itu dalam masa terdekat.

Menurut data terkini kerajaan, hanya 21,138 bayi dilahirkan pada bulan Mac tahun ini, turun 8.1 peratus daripada tahun sebelumnya yang merupakan jumlah terendah bagi Mac sejak agensi statistik mula mengumpul data bulanan pada 1981.

Bilangan bayi yang dilahirkan di Korea Selatan merosot setiap tahun selama 88 bulan berturut-turut.

Menurut data terbaharu minggu lepas, warga Korea Selatan berumur 65 tahun ke atas dijangka membentuk 46.4 peratus daripada jumlah penduduk pada 2070. - BERNAMA