Skip to main content

Dunia

Kadar tarif eksport Indonesia ke AS dikurangkan kepada 15 peratus

 Airlangga Hartarto
Airlangga berkata, ART yang menyediakan akses tarif sifar peratus bagi 1,819 barisan tarif Indonesia, kekal sah dan akan berkuat kuasa selepas 90 hari, tertakluk kepada pengesahan kedua-dua pihak.

JAKARTA: Kadar tarif eksport Indonesia ke Amerika Syarikat (AS) telah dikurangkan daripada 19 peratus kepada 15 peratus susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan dasar tarif global Presiden Donald Trump, lapor pihak berkuasa pada Jumaat.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, pengurangan itu bererti Indonesia menikmati pengurangan empat peratus daripada tarif timbal balas yang sebelum ini dikenakan oleh Washington.

Advertisement

"Dapat diskaun kepada 15 peratus," katanya seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita ANTARA pada Jumaat.

Tarif timbal balas 19 peratus itu dikenakan sebagai sebahagian daripada langkah perdagangan AS yang lebih luas yang menjejaskan eksport Indonesia, manakala Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) menetapkan kadar tarif yang telah dirundingkan antara kedua-dua negara.

Airlangga berkata, ART yang menyediakan akses tarif sifar peratus bagi 1,819 barisan tarif Indonesia, kekal sah dan akan berkuat kuasa selepas 90 hari, tertakluk kepada pengesahan kedua-dua pihak.

"Tidak dibatalkan, ia hanya akan berkuat kuasa selepas 90 hari dan selepas pengesahan," katanya.

Tarif yang diliputi di bawah ART termasuk minyak sawit, kopi, koko, rempah ratus, getah, komponen elektronik termasuk semikonduktor, komponen pesawat, serta produk tekstil dan pakaian di bawah mekanisme kuota tertentu.

Airlangga berkata, akses pasaran keutamaan bagi sektor tersebut, yang merupakan komoditi eksport utama Indonesia, kekal utuh walaupun terdapat perkembangan undang-undang terbaru di AS dan dijangka menyokong pengembangan pasaran selanjutnya.

"Jadi diharapkan pasaran boleh berkembang. Yang sebelum ini sifar peratus memang tetap sifar peratus," katanya.

Pada Jumaat (20 Feb) waktu tempatan, Mahkamah Agung AS memutuskan dengan majoriti 6-3 bahawa Presiden tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) untuk mengenakan tarif global.

Susulan keputusan itu, AS mula melaksanakan tarif global sementara 10 peratus, dan kemudian menaikkannya kepada 15 peratus.

-- BERNAMA

Must Watch Video