SEORANG remaja berusia 19 tahun mendakwa kekejaman kerajaan Taliban dalam melayan kaum wanita di Afghanistan lebih teruk daripada haiwan.

Memetik laporan BBC, remaja yang tidak mendedahkan namanya itu memberitahu dia sepatutnya mendaftar kemasukan ke universiti di Afghanistan tidak lama lagi.

“Wanita 'dilayan lebih teruk daripada haiwan' sedangkan haiwan boleh pergi ke mana-mana sendiri tetapi kami perempuan tidak mempunyai hak walaupun untuk keluar dari rumah kami.” katanya.

Minggu lalu, Taliban melarang pelajar perempuan daripada meneruskan pendidikan universiti.

Berdasarkan surat dikongsikan oleh jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi, Ziaullah Hashmi, universiti swasta dan awam perlu melaksanakan larangan itu secepat mungkin serta memaklumkan kepada kementerian sebaik larangan itu dilaksanakan.

Dalam masa sama, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam dasar kerajaan Taliban yang menyasarkan wanita dan gadis di Afghanistan.

Majlis Keselamatan 15 anggota terdiri daripada Britain, China, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat itu meluahkan kebimbangan terhadap pelbagai sekatan yang dikenakan dalam sistem pendidikan wanita.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa sekatan terbaharu itu ditarik balik.

Satu kenyataan dikeluarkan ahli majlis menyeru agar keadilan penuh, sama rata dan bermakna diberikan kepada wanita di Afghanistan.

Pihaknya turut menggesa Taliban membuka semula sekolah dan mengembalikan dasar dan amalan terdahulu untuk menghormati hak dan kebebasan asasi.

“Larangan ke atas wanita akan memberi impak yang ketara dan serta-merta ke atas hak kemanusiaan di negara itu.

"Tindakan meminggirkan dan menyekat kaum wanita dan kanak-kanak perempuan akan menyebabkan penderitaan dan kemunduran besar kepada potensi rakyat Afghanistan," tulisnya di Twitter.

Sekurang-kurangnya lima NGO terkemuka meninggalkan kerja mereka di Afghanistan selepas kerajaan Taliban melarang kaum wanita bekerja.