OTTAWA: Kanada memanggil Duta Besar Israel susulan insiden pemintasan terhadap misi bantuan ke Semenanjung Gaza yang melibatkan aktivis kemanusiaan awal minggu ini.
Perdana Menteri Kanada Mark Carney dalam hantaran di akaun X berkata, Menteri Luar negara telah mengarahkan pegawai diplomatik memanggil duta berkenaan bagi mendapatkan penjelasan serta jaminan keselamatan untuk warga Kanada yang terlibat.
"Menteri Luar Kanada telah mengarahkan para pegawai untuk memanggil duta Israel bagi menuntut jaminan berhubung keselamatan dan perlindungan rakyat Kanada yang terlibat," tulis Carney.
Carney turut menuntut perlindungan menyeluruh terhadap rakyatnya yang berada dalam misi berkenaan.
The abominable treatment of civilians aboard the flotilla, including that which is documented in footage shared by Itamar Ben-Gvir, is unacceptable.
Canada’s Minister of Foreign Affairs has directed officials to summon the Israeli ambassador to demand assurances regarding the…— Mark Carney (@MarkJCarney) May 20, 2026
Beliau turut mengulas rakaman video yang tular dan dikongsi oleh Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir, yang memaparkan layanan terhadap aktivis yang ditahan.
Carney menyifatkan insiden itu sebagai tidak boleh diterima.
"Layanan kejam terhadap orang awam di atas kapal flotila tersebut, termasuk apa yang didokumentasikan dalam rakaman video yang dikongsi oleh Itamar Ben-Gvir, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
"Perlindungan orang awam dan penghormatan terhadap maruah insan mesti ditegakkan di mana-mana sahaja, pada setiap masa," tulis Carney.
Beliau menambah, Kanada sebelum ini mengenakan sekatan ekonomi terhadap Ben-Gvir, termasuk pembekuan aset serta larangan perjalanan susulan tindakannya yang didakwa menghasut keganasan.
"Kanada telah pun mengenakan sekatan ketat terhadap Encik Ben-Gvir, termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan, sebagai tindak balas terhadap tindakan beliau yang berulang kali menghasut keganasan," kata beliau.
Menurut kenyataan penganjur misi kemanusiaan itu, sekurang-kurangnya 11 warga Kanada berada di atas kapal Global Sumud Flotilla ketika ia dipintas di perairan antarabangsa.