TRENTON (Kanada): Kanada meneruskan bantuan untuk rakyat Palestin di Gaza pada Selasa dengan menyediakan dana sebanyak CAN$40 juta (RM141 juta) untuk pelbagai agensi.

Bagaimanapun Kanada masih menangguhkan pembiayaan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

"Kanada dengan sepenuh hati mengakui bahawa keperluan bantuan kemanusiaan untuk orang awam Palestin semakin meningkat pada setiap jam.

"Skala krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza terus memerlukan perhatian dan tindak balas segera kami. Kita mesti memastikan bahawa orang awam Palestin yang memerlukan bantuan untuk menyelamatkan nyawa menerima bantuan itu dengan segera," menurut kenyataan kerajaan Kanada, lapor Agensi Anadolu.

Sebahagian besar wang itu akan disalurkan kepada agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan Program Makanan Sedunia menerima jumlah terbesar sebanyak CAN$16 juta (CAN$1=RM3.527).

Turut menerima bantuan adalah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).

Kerajaan Kanada berkata baki CAN$5 juta akan disalurkan kepada rakan kongsi pertubuhan bukan kerajaan Kanada.

Kanada "menangguhkan sementara" pembiayaan kepada UNRWA, selepas beberapa kakitangannya didakwa terlibat dalam konflik antara Hamas dan Israel.

-- BERNAMA\