DUNIA
Kanak-kanak maut dilanggar kereta peronda polis di Belgium

Seorang kanak-kanak maut di bandar pelabuhan Antwerp, Belgium pada Rabu selepas dilanggar sebuah kereta peronda polis yang sedang dalam perjalanan ke lokasi panggilan kecemasan. - Foto hiasan/Sinar Harian
BRUSSELS: Seorang kanak-kanak maut di bandar pelabuhan Antwerp, Belgium pada Rabu selepas dilanggar sebuah kereta peronda polis yang sedang dalam perjalanan ke lokasi panggilan kecemasan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Agensi berita Belga melaporkan bahawa kanak-kanak itu berlari melintas jalan ketika kereta polis berkenaan sedang melalui kawasan tersebut.
Pendakwa raya mengesahkan kejadian itu namun tidak memberikan butiran lanjut. Media tempatan melaporkan mangsa berusia lapan atau sembilan tahun.
Kes itu berlaku hanya beberapa minggu selepas seorang budak lelaki maut ketika menunggang e-skuter di Brussels ketika cuba melarikan diri daripada polis. Pegawai yang memandu kenderaan polis dalam insiden itu kini dikenakan tahanan rumah dan dipakaikan alat pengesan elektronik di pergelangan kaki sementara siasatan dijalankan.Pendakwa raya Brussels sedang meneruskan dakwaan atas kesalahan "menghalang lalu lintas secara berniat jahat sehingga menyebabkan kematian", yang membawa hukuman maksimum sehingga 30 tahun penjara. Kematian kanak-kanak lelaki itu, yang dilahirkan pada 2013, telah mencetuskan perdebatan hangat di Belgium.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami