Kanak-kanak perempuan tidak sedar diri sebulan selepas 11 hospital dihubungi untuk rawatan
Tragedi bermula pada pukul 8.40 malam 4 Ogos apabila kanak-kanak itu menghadapi kekejangan febril dan dilaporkan kepada perkhidmatan kecemasan 119.
Bernama
Tue Sep 03 2024
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 28 bulan masih tidak sedarkan diri selama sebulan selepas dinafikan rawatan kecemasan oleh lebih 10 hospital di kawasan metropolitan Seoul. - Gambar hiasan
SEOUL: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 28 bulan masih tidak sedarkan diri selama sebulan selepas dinafikan rawatan kecemasan oleh lebih 10 hospital di kawasan metropolitan Seoul, kata pihak berkuasa pada Selasa di tengah-tengah gangguan sistem perubatan tempatan kerana mogok berterusan oleh doktor-doktor muda.
Agensi berita Yonhap melaporkan, tragedi itu bermula pada pukul 8.40 malam, 4 Ogos apabila kanak-kanak yang tinggal di Goyang, di barat laut Seoul menghadapi kekejangan febril dan dilaporkan kepada perkhidmatan kecemasan 119, menurut pegawai di Ibu Pejabat Bomba dan Bencana utara Gyeonggi
Pasukan penyelamat menghubungi unit kecemasan 11 hospital di Seoul dan sekitar Wilayah Gyeonggi tetapi kesemuanya enggan menerima bayi itu dengan alasan kekurangan kakitangan perubatan.
Kanak-kanak itu akhirnya dimasukkan ke hospital ke-12 yang dihubungi oleh pasukan penyelamat, Hospital Universiti Inha di Incheon, 32km di barat Seoul, lebih sejam kemudian pada hari kejadian.
Kanak-kanak itu masih sedar semasa dimasukkan ke hospital walaupun terdapat gejala kekejangan tubuh tetapi kemudian koma dan masih belum sedarkan diri lagi, kata pegawai itu.
"Kami berjaya mendapatkan sebuah hospital di Incheon yang sanggup untuk merawatnya selepas berulang kali gagal mendapatkan unit kecemasan, " kata seorang pegawai sambil menambah kanak-kanak itu sedang dirawat dalam keadaan tidak sedar diri di sebuah hospital di Seoul. - BERNAMA