Selut tebal sukarkan mangsa banjir bersihkan rumah

Penduduk sibuk membersih rumah setelah banjir mulai surut ketika tinjauan di RKT Kesedar Lebir di sini. - Gambar/ Bernama
GUA MUSANG: Selut atau lumpur tebal akibat banjir yang melanda sejak Khamis lepas menyukarkan mangsa bencana itu di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir, di sini membersihkan rumah masing-masing.
Rata-rata mereka terpaksa bersusah payah dan bertungkus lumus menghilangkan sisa kotoran pada barangan, peralatan dan perabot selain dinding dan lantai rumah yang diselaputi lumpur.
Nor Anita Mat Jusoh, 38, berkata walaupun sukar, kerja-kerja membersihkan rumah mesti dilakukan segera kerana perabot seperti katil serta peralatan dapur termasuk periuk dan pinggan diperlukan untuk kegunaan setiap hari.
"Buat masa ini, kami tidak menyusun atur lagi barangan di dalam rumah selagi musim tengkujuh belum berakhir kerana bimbang akan dilanda banjir lagi. Semua peralatan elektronik dan pakaian masih disimpan di tempat yang tinggi dan lebih selamat," katanya ketika ditemui pemberita di RKT Kesedar Lebir, di sini hari ini.
Bagi Noor Azman Mat Jusoh, 48, pula proses membersihkan rumah dijangka memakan masa beberapa hari disebabkan lumpur dan selut tebal daripada limpahan dari Sungai Lebir baru-baru ini berikutan hujan lebat.
"Bagaimanapun, kami perlu membersihkan rumah dengan cepat sebaik sahaja banjir surut untuk mengelakkan kotoran lumpur itu mengering sehingga menyukarkan kerja-kerja pembersihan," katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka RKT Kesedar Lebir Nor Azmi Abdullah berkata sebanyak 148 mangsa daripada 35 keluarga dari kampung berkenaan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Lebir pada Khamis dan dibenarkan pulang semalam selepas banjir surut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


