SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Itali dipercayai dijangkiti COVID-19 sejak November tahun lalu, dakwa sekumpulan saintis di negara itu.

Sebelum ini, wabak yang membunuh lebih puluhan jutaan nyawa penduduk di seluruh dunia, dipercayai mula dikesan pada pertengahan Disember 2019 di bandar raya Wuhan, China.

Penemuan itu secara tidak langsung menjadi hujah bahawa pandemik COVID-19 merebak lebih awal di negara itu, berbanding ia mula dilaporkan pada akhir Februari lalu.

Kanak-kanak yang berasal dari sebuah bandar dekat Milan itu dilaporkan jatuh sakit pada 21 November tahun lalu dan mempunyai gejala seperti selesema dan ruam.

Bagaimanapun, dia didakwa menghidap campak, ketika itu.

Ujian saringan COVID-19 kemudian dijalankan pada Disember sebelum mengesan kehadiran virus COVID-19, dakwa Milan State University menerusi International Journal of Infectious Diseases

Dakwa kajian itu lagi, kanak-kanak lelaki itu dikategorikan sebagai 'patient zero' di Itali, dan bukannya lelaki pertengahan usia dari Codogno, yang dikesan dijangkiti COVID-19 pada Februari.

Kanak-kanak itu didakwa tidak berada di luar negara ketika dia jatuh sakit, dan dipercayai dijangkiti wabak tersebut di Itali.

Kajian yang dijalankan oleh Institut Kanser Negara (INT) Milan sebelum ini mendakwa jangkitan COVID-19 mula tersebar di Itali pada September 2019, lebih awal berbanding tarikh ia mula dikesan di China.

Setakat ini, Itali merekodkan sebanyak 1.77 juta kes COVID-19, dengan lebih 61,000 kematian berkaitan wabak tersebut.