WASHINGTON: Sebuah kapal angkasa NASA seberat lebih 600 kilogram (kg), Van Allen Probe A, dijangka memasuki semula atmosfera bumi hampir 14 tahun selepas dilancarkan, menurut kenyataan NASA dan Angkatan Angkasa AS.
Menurut ramalan US Space Force, kapal angkasa itu dijangka melakukan kemasukan semula sekitar 8.45 pagi waktu Malaysia pada Rabu, dengan julat ketidaktentuan selama 24 jam.
Advertisement
Kebanyakan struktur probe dijangka terbakar ketika melalui atmosfera, namun NASA menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan kecil beberapa komponen terselamat.
NASA menegaskan risiko untuk manusia terkena serpihan adalah sangat rendah, dianggarkan sekitar 1 dalam 4,200, kerana majoriti serpihan akan terbakar atau jatuh ke kawasan lautan yang meliputi sebahagian besar permukaan bumi.
Lokasi tepat kemasukan semula belum diketahui sepenuhnya, namun NASA dan Angkatan Angkasa AS akan terus memantau laluan dan mengemaskini ramalan secara berterusan.
Dilancarkan pada Ogos 2012, Van Allen Probe A dan kembarannya, Probe B, ditugaskan untuk mengumpul data tentang tali pinggang radiasi Van Allen, iaitu zon yang dipenuhi zarah bercas yang terperangkap oleh medan magnet vumi.
Tali pinggang ini melindungi planet daripada sinaran kosmik, ribut suria dan angin suria yang boleh menjejaskan teknologi serta kesihatan manusia.
Misi itu pada asalnya dijadualkan berlangsung selama dua tahun, namun beroperasi hampir tujuh tahun, dari 2012 hingga 2019, sebelum probe kehabisan bahan api dan gagal mengekalkan orientasi ke arah matahari.
Antara pencapaian misinya termasuk penemuan bukti pertama kewujudan tali pinggang radiasi ketiga yang bersifat sementara semasa aktiviti suria yang kuat.
Analisis awal selepas misi tamat pada 2019 menjangkakan Probe A hanya akan jatuh semula ke bumi pada 2034, namun peningkatan aktiviti suria yang mencapai maksimum suria pada 2024 menyebabkan seretan atmosfera meningkat dan mempercepatkan proses kemasukan semula.
Kapal angkasa kembarannya, Van Allen Probe B, pula dijangka hanya memasuki atmosfera bumi selepas tahun 2030.