Skip to main content

Malaysia

Penyaluran GDPM selesai melalui intervensi Kementerian Digital - Gobind

ALOR GAJAH, 23 April -- Menteri Digital Gobind Singh Deo semasa menyampaikan ucapan pada program Simposium Kepimpinan Digital Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Malaysia di Freeport A'Famosa Outlet Convention, hari ini.  Kementerian Digital sedang membincangkan langkah untuk membuka pusat latihan Kepimpinan Digital Eksekutif (EDP) ke peringkat negeri bagi mempermudah latihan kepada peserta berminat.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Gobind berkata sebagai inisiatif di bawah Belanjawan 2025, GDPM memainkan peranan penting dalam membantu PMKS mengadaptasi teknologi digital. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Penyaluran inisiatif Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) oleh kerajaan telah berjaya diselesaikan susulan intervensi Kementerian Digital bagi menangani kelewatan pembayaran yang  menjejaskan syarikat mengambil bahagian, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Gobind dalam satu kenyataan hari ini berkata Kementerian Digital telah menyelaraskan dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan bagi memastikan semua tuntutan diselesaikan dengan segera. 

"Susulan intervensi ini, proses pembayaran dan penyaluran berjaya disalurkan kepada syarikat terlibat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN). Semua tuntutan tertunggak kini telah diselesaikan sepenuhnya, dengan jumlah keseluruhan RM19 juta dibayar kepada syarikat," katanya.

Beliau berkata sebagai inisiatif di bawah Belanjawan 2025, GDPM memainkan peranan penting dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) mengadaptasi teknologi digital.

Inisiatif GDPM melibatkan lebih daripada 370 rakan pendigitalan yang menawarkan pelbagai penyelesaian merangkumi sembilan bidang utama pendigitalan, termasuk pembayaran digital dan sistem ePOS, penyelesaian pengurusan perniagaan seperti HR dan CRM, pemasaran digital, keselamatan siber, sistem ERP dan perakaunan, tandatangan digital, Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) serta invois elektronik.

Gobind berkata keutamaan Kementerian Digital ketika ini adalah untuk memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan sampai kepada penerima dengan cepat dan berkesan. 

"Usaha mempercepatkan penyaluran ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk bukan sahaja menangani isu semasa, tetapi juga memperkukuh keyakinan PMKS, rakan industri dan rakyat terhadap keupayaan sistem penyampaian awam. 

"Langkah ini dilihat sebagai pendekatan Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada perniagaan tempatan yang tercicir dalam merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video