Skip to main content

Dunia

Kapal Korea Selatan terbakar di Selat Hormuz, Trump dakwa serangan Iran

Vessels in the Strait of Hormuz near Bandar Abbas, Iran, May 4, 2026. Amirhosein Khorgooi/ISNA/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS
Insiden melibatkan kapal bernama HMM Namu itu berlaku sekitar jam 8.40 malam, ketika ketegangan di Selat Hormuz kembali memuncak. -Gambar fail/Reuters

ABU DHABI: Sebuah kapal kargo yang dikendalikan oleh syarikat perkapalan Korea Selatan, HMM, dilaporkan terbakar selepas berlaku letupan di bilik enjin ketika sedang berlabuh di perairan berhampiran Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin.

Insiden melibatkan kapal bernama HMM Namu itu berlaku sekitar jam 8.40 malam, ketika ketegangan di Selat Hormuz kembali memuncak.

Advertisement

Kebakaran yang tercetus berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas usaha selama kira‑kira empat jam.

Menurut pihak HMM dan Kementerian Luar Korea Selatan, kesemua 24 kru kapal, termasuk enam warga Korea Selatan, dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Kapal berkenaan kini dijangka ditunda ke pelabuhan berhampiran di Dubai bagi pemeriksaan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa Iran telah melepaskan tembakan ke arah kapal Korea Selatan itu, sambil menggesa Seoul menyertai operasi ketenteraan AS yang dikenali sebagai “Project Freedom” untuk mengiringi kapal komersial yang terkandas di Selat Hormuz.

Namun, kerajaan Korea Selatan menegaskan bahawa punca sebenar letupan dan kebakaran masih dalam siasatan, dan belum dapat dipastikan sama ada ia berpunca daripada serangan luar atau masalah teknikal dalaman.

Rentetan kejadian tersebut, Seoul telah mengarahkan 26 buah kapal Korea Selatan yang berada di sekitar Selat Hormuz supaya beralih ke lokasi lebih selamat, sambil mengekalkan komunikasi rapat dengan syarikat perkapalan dan pihak berkuasa berkaitan.

Insiden itu berlaku ketika situasi keselamatan di Asia Barat semakin tegang, dengan laporan antarabangsa menyebut serangan turut menjejaskan pelabuhan minyak di Fujairah, UAE.

Susulan perkembangan berkenaan, harga minyak mentah dunia dilaporkan melonjak melebihi AS$115 setong (kira‑kira RM454) dalam dagangan awal.

 

Must Watch Video