DUNIA
Kapal Madleen dibeli senyap-senyap, gunakan bendera UK rempuh sekatan Israel – Dr. Fauziah

Kapal layar Madleen yang digunakan oleh Freedom Flotilla Coalition bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza dan menghantar bantuan ke wilayah itu. - foto/REUTERS/Danilo Arnone
KUALA LUMPUR: Modus operandi bagi flotila pembebasan oleh kapal Madleen adalah dengan membuat pembelian tanpa menyatakan hasrat langsung untuk berlayar ke Palestin dan didaftarkan di bawah negara kuasa besar dunia, United Kingdom.
Ringkasan AI
- Kapal Madleen dibeli secara senyap dan didaftarkan di bawah United Kingdom sebagai langkah strategik untuk mengelak sekatan Israel, berbeza dengan kegagalan misi terdahulu yang menggunakan bendera Guinea-Bissau.
- Kehadiran aktivis terkenal seperti Greta Thunberg dan ahli parlimen EU Rima Hassan dalam misi ini bertujuan meningkatkan keselamatan peserta dan menarik perhatian global terhadap isu Gaza.
- Israel menahan 12 aktivis termasuk Greta dan Rima walaupun mereka berlayar di bawah bendera UK, mencetuskan gesaan agar kerajaan UK bertindak mempertahankan hak kapal dan anak kapalnya
"Kami beli kapal Madleen ini senyap-senyap. Memandangkan orang tidak tahu kapal ini merupakan sebahagian daripada flotila pembebasan, maka kita dapat gunakan United Kingdom (UK) - sangat kuat.
“Seperti kita tahu, pada 2024 kita menggunakan bendera Guinea-Bissau tetapi tidak dibenarkan berlayar.
“Dengan kapal yang tidak diketahui akan sertai misi flotila pembebasan, menggunakan bendera UK, krew sudah bersedia untuk berlayar dan kami rasa ini merupakan masa yang baik untuk merempuh sekatan Israel,” katanya.
Tambah Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah MyCARE itu, misi kapal Madleen kali ini turut melibatkan tokoh-tokoh antarabangsa yang berkongsi prinsip penolakan terhadap kezaliman Israel yang sama.
“Keduanya, kita hadirkan Greta Thunberg; seorang aktivis iklim dan muda, supaya menjadi pelan keselamatan kepada peserta-peserta lain. Rima Hassan yang merupakan seorang ahli parlimen Eropah juga menyumbang kepada faktor keselamatan pelayaran,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Kapal Madleen dibeli senyap-senyap, gunakan bendera UK rempuh sekatan Israel – Dr. Fauziah
Dalam temu bual yang sama, Presiden Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR), Jismi Johari mengulas lanjut mengenai kepentingan bendera UK yang digunakan oleh kapal Madleen dalam misi kali ini.Menurutnya, adalah tidak wajar bagi sebuah negara kuasa besar dunia berdiam diri selepas melihat tindakan tentera Israel menahan anak kapal yang berlayar di perairan antarabangsa.
"Kapal Madleen membawa bendera United Kingdom (UK). UK sepatutnya bersuara ke atas Israel dengan mempersoalkan mengenai sebab kapalnya di tahan, hantar nota protes atau hantar duta UK untuk bertemu dengan kerajaan Israel. Ini kerana anak-anak kapal Madleen ini berlayar di bawah bendera UK. Namun begitu kita belum nampak sebarang tindakan daripada kerajaan UK,” katanya.
Untuk konteks, kapal layar Madleen sepanjang 18 meter itu memulakan pelayaran ke Gaza pada 1 Jun dari Pelabuhan San Giovanni Li Cuti di Catania, Sicily, Itali, sebagai sebahagian daripada misi terkini anjuran Freedom Flotilla Coalition bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza dan menghantar bantuan ke wilayah itu.
Seramai 12 individu berada di atas kapal Madleen, terdiri daripada 11 aktivis dan seorang wartawan.
Menurut penganjur, kapal itu membawa bekalan penting yang amat diperlukan penduduk Gaza, termasuk susu formula bayi, tepung, beras, lampin, tuala wanita, kit penyahgaraman air, bekalan perubatan, tongkat sokongan serta anggota palsu untuk kanak-kanak.
Pada Isnin, 12 aktivis antarabangsa ditahan pasukan keselamatan Israel di atas kapal bantuan Madleen berkenaan, termasuk Thunberg dan Rima.
Dialog Tiga Penjuru: Dialog Tiga Aktivis Palestin

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami