Skip to main content

Dunia

Kapal tangki terbakar di Hormuz, Trump jangka konflik Iran berakhir

Belum ada maklumat terperinci mengenai punca letupan melibatkan empat kapal tangki berkenaan atau sama ada terdapat kemalangan jiwa dalam insiden itu. - Foto REUTERS
Belum ada maklumat terperinci mengenai punca letupan melibatkan empat kapal tangki berkenaan atau sama ada terdapat kemalangan jiwa dalam insiden itu. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Empat kapal tangki minyak terbakar dan meletup di Selat Hormuz selepas melalui laluan tidak dibenarkan, menurut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
  • Insiden berlaku ketika usaha diplomatik antara Iran dan Amerika Syarikat dipergiatkan, termasuk rundingan yang melibatkan delegasi Qatar di Tehran.
  • Setakat ini, punca letupan dan maklumat kemalangan jiwa belum diketahui, sementara insiden ini menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan pasaran tenaga global.
Advertisement

TEHRAN: Empat kapal tangki minyak dilaporkan terbakar dan meletup di Selat Hormuz selepas melalui laluan yang disifatkan sebagai “tidak dibenarkan”, menurut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Dalam kenyataan yang dipetik media Iran, IRGC berkata insiden itu berlaku ketika kapal-kapal berkenaan melalui perairan strategik yang menjadi laluan utama perdagangan minyak dunia.

Perkembangan itu berlaku ketika usaha diplomatik untuk meredakan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) semakin dipergiatkan.

Advertisement

Presiden AS, Donald Trump, berkata perang melibatkan Iran dijangka berakhir dalam masa terdekat, sambil menegaskan bahawa Washington tetap mahukan jaminan bahawa Tehran tidak akan memiliki senjata nuklear.

“Perkara ini akan diselesaikan tidak lama lagi. Apa yang kami perlukan ialah jaminan bahawa tidak akan wujud senjata nuklear,” katanya.

Advertisement

Pada masa sama, media Iran melaporkan satu delegasi dari Qatar telah kembali ke Tehran bagi meneruskan rundingan diplomatik yang bertujuan mencari jalan penyelesaian kepada konflik tersebut.

Sumber Iran turut mengesahkan kepada Al Jazeera bahawa Tehran telah menerima sepucuk surat daripada Amerika Syarikat yang menyentuh usaha menamatkan peperangan dan membuka ruang kepada rundingan lanjut.

Setakat ini, belum ada maklumat terperinci mengenai punca letupan melibatkan empat kapal tangki berkenaan atau sama ada terdapat kemalangan jiwa dalam insiden itu.

Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia, dengan sebahagian besar eksport minyak mentah dari negara-negara Teluk melalui kawasan berkenaan. Sebarang gangguan di laluan itu lazimnya memberi kesan kepada pasaran tenaga global dan meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan serantau.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika masyarakat antarabangsa terus memantau usaha mediasi yang diketuai beberapa negara Asia Barat dalam usaha meredakan ketegangan dan mengelakkan konflik daripada merebak ke seluruh rantau.

 

 

Must Watch Video

Advertisement