Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: BN yakin rakyat tolak propaganda pembangkang - Onn Hafiz

Onn Hafiz berkata, maklum balas yang diterima menunjukkan rakyat Melaka tidak mudah terpengaruh dengan propaganda serta serangan politik yang dibawa pihak lawan terhadap kepimpinan BN. - Astro AWANI
Onn Hafiz berkata, maklum balas yang diterima menunjukkan rakyat Melaka tidak mudah terpengaruh dengan propaganda serta serangan politik yang dibawa pihak lawan terhadap kepimpinan BN. - Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

MERLIMAU: Barisan Nasional (BN) yakin sokongan rakyat Melaka terhadap kerajaan negeri sedia ada akan diterjemahkan menerusi undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, maklum balas yang diterima menunjukkan rakyat Melaka tidak mudah terpengaruh dengan propaganda serta serangan politik yang dibawa pihak lawan terhadap kepimpinan BN.

Menurutnya, usaha pembangkang menggunakan pelbagai pendekatan untuk meraih sokongan termasuk menerusi kritikan dan dakwaan terhadap pemimpin BN dilihat tidak memberi kesan seperti diharapkan.

Advertisement

“Rakyat di Melaka ini menolak propaganda yang dibawa pihak lawan. Mereka tidak boleh dibeli dengan perang saraf atau gula-gula.

“Sebab itu saya katakan usaha perang saraf dan segala propaganda yang dibuat pihak lawan sebenarnya membuang masa kerana majoriti rakyat Melaka mahu mengekalkan kerajaan negeri sedia ada,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian selepas mengiringi jentera BN Merlimau bagi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Akmal Salleh di Dewan Platinum Politeknik pada Sabtu.

Mengulas peluang penyandang kerusi DUN Merlimau, Datuk Dr Akmal Salleh, Onn Hafiz menyifatkan penerimaan pengundi terhadap pemimpin muda itu sebagai positif.

Katanya, Akmal bukan sekadar lantang menyuarakan isu rakyat, malah turut berusaha mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya lihat rakyat Merlimau dapat membezakan antara kaca dengan permata. Datuk Akmal seorang pemimpin muda yang bukan hanya pandai bercakap, tetapi berusaha menyelesaikan isu-isu rakyat di kawasan Merlimau.

“Jadi penerimaan rakyat terhadap beliau sangat tinggi,” katanya.

Beliau turut berpandangan pengundi Melaka mampu menilai prestasi serta sumbangan calon berdasarkan rekod perkhidmatan, berbanding terpengaruh dengan kempen berunsur serangan peribadi.

Onn Hafiz optimis sokongan berkenaan akan diterjemahkan menerusi keputusan pengundian pada 14 November depan.

Barisan Nasional (BN) Melaka akan bertanding di 23 daripada 28 kerusi DUN pada PRN Melaka ke-16, dengan pecahan UMNO 18 kerusi, MCA 4 kerusi dan MIC satu kerusi.

 

 

Must Watch Video

Advertisement