JAKARTA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai Indonesia (DJBC) hari ini melancarkan operasi 'Pasukan Petugas Bersama Mengenai Narkotik 2023' (JTF 2023) untuk membanteras pengedaran dadah rentas sempadan.

Ketua Cawangan Narkotik Bahagian Penguatkuasaan JKDM Maznan Harron berkata operasi akan memberi tumpuan kepada laluan lintas darat antara Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan, manakala laluan lintas sempadan laut fokus di bahagian timur Kalimantan.

"Kita mengambil tindakan pantas dengan berkerjasama melalui hubungan dua hala untuk menyekat pergerakkan rentas negara memandangkan pengedaran dadah semakin dinamik dan berkembang pesat," katanya selepas mengadakan mesyuarat JTF 2023 di sini.

Operasi kali kelima selama sebulan bermula 1 Jun membolehkan kedua-dua pihak berkongsi amalan terbaik mengenai penguatkuasaan di sempadan dan berkongsi maklumat risikan aktiviti penyeludupan dadah.

Pelancaran operasi JTF 2023 dilakukan Maznan dan Timbalan Pengarah Operasi dan Pendedahan Rangkaian Narkotik DJBC Prijo Andono di ibu pejabat DJBC.

Hadir sama Kaunselor Kastam Kedutaan Besar Malaysia Ahmad Talib, Penolong Kanan Pengarah Kastam 1 Bahagian Narkotik JKDM Yusmi Mohd Yusof dan ketua bahagian penguatkuasaan JKDM Sarawak Suhaimi Yusof.

Menurut Prijo, operasi turut mengukuhkan pembangunan sumber manusia dan pembangunan keupayaan melalui latihan secara fizikal serta maya dalam bidang pencegahan penyeludupan dadah.

"Kerjasama erat ini diharap dapat menyelamatkan generasi muda yang akan datang daripada terkesan akibat aktiviti pengedaran dadah," katanya, sambil menambah JKDM akan menjadi tuan rumah majlis penutupan operasi JTF 2023 di Kota Kinabalu, Sabah pada Julai.

Maznan yang mengetuai delegasi turut dibawa melawat bangunan 'Kastam K-9 Training and Simulation Training' serta menonton demonstrasi anjing K9 DJBC yang mengesan dadah dalam bagasi pakaian dan parcel.

Kerjasama kedua pihak yang telah lama terjalin telah ditingkatkan melalui mesyuarat dua hala tahunan secara bergilir mengikut 'Terma Rujukan Mesyuarat Dua Hala antara DJBC dan JKDM' yang dimeterai pada 10 Jun 2009.

-- BERNAMA