SELAYANG: Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis mengetengahkan keunikan hasil pertanian negeri itu termasuk mangga Harumanis premium dalam usaha memperluas pasaran produk tempatan ke luar negeri.
Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis itu berlangsung di FAMA Point, Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, Selangor, dari jam 7.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Majlis pelancaran disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan baginda berdua disambut Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan, bersama barisan pengurusan tertinggi agensi itu.
Program berkenaan menawarkan pelbagai produk agromakanan segar dan berkualiti, termasuk sayur-sayuran, buah-buahan tempatan, ayam segar serta barangan keperluan asas yang dijual terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.
Antara tarikan utama adalah penjualan mangga Harumanis Perlis gred premium, set kombo khas Edisi Perlis serta penyertaan usahawan bimbingan FAMA dalam kalangan pengusaha industri makanan, produk kerepek, pes masakan dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Selain itu, peladang dan pengusaha ladang turut membekalkan hasil segar yang baru dipetik, manakala usahawan tani menawarkan pelbagai pilihan produk terus dari ladang kepada pengguna.
Dalam program sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian berasaskan produk mangga Harumanis serta melancarkan Jualan Agro MADANI Edisi Perlis menerusi gimik plak perasmian.
Baginda berdua turut melawat reruai jualan dan meninjau pelbagai promosi istimewa termasuk “Happy Hour Kombo MADANI”, “Happy Hour Mangga Harumanis Perlis” serta demonstrasi “Kacau Pulut Kucai Harumanis Perlis.”
Penganjuran program ini dilihat sebagai platform penting memperkenalkan hasil pertanian Perlis kepada masyarakat luar, di samping memperkukuh jaringan pemasaran usahawan tani tempatan.
Inisiatif itu juga selari dengan usaha memperkasa sektor agromakanan negara serta memperluas akses pasaran kepada usahawan secara lebih mampan dan berdaya saing.