SEPASANG kasut milik Michael Jordan yang dikenali sebagai 'Last Dance' dijangka akan menjadi kasut paling mahal dilelong dalam sejarah.

Menurut pusat lelongan Sotheby's bidaan untuk kasut Air Jordan XIII itu telah mencecah AS$1.8 juta (RM7.9 juta) hanya beberapa jam selepas lelongan dimulakan.

Nilai itu jauh melepasi rekod untuk kasut Jordan lain Nike Air Ships yang dilelong pada 2021 dengan harga AS$1.47 juta (RM6.48 juta).

Kasut 'Last Dance' berkenaan dijangka akan mencapai AS$4 juta (RM17.63 juta) pada hari terakhir bidaan iaitu 11 April.

Bintang bola keranjang itu memakai kasut Air Jordan XIII berkenaan ketika musim kejohanan terakhirnya bersama Chicago Bulls pada tahun 1997 hingga 1998.

Ketika itu dia berjaya memperolehi 37 mata dalam Perlawanan Kedua siri 1998 NBA Finals yang menghadiahkan kemenangan 93-88 kepada pasukan Bulls ke atas Utah Jazz.

The Bulls akhirnya menjuari kejohanan tersebut yang mencetuskan satu siri dokumentari 'Last Dance' pada tahun 2020 berkenaan musim terakhir Jordan bersama pasukan itu.

Ia juga merupakan kejohanan NBA keenam Jordan dan kali kelima dia dinamakan Pemain Paling Berharga NBA.

Sejurus selepas kejayaan Perlawanan Kedua itu, Jordan menghadiahkan kasut berkenaan kepada penjaga bilik persalinan sebagai imbuhan menemui jaketnya yang hilang, kata pusat lelongan Sotheby's dalam satu kenyataan.

Kasut 'Bred' Air Jordans ini, singkatan kepada 'black and red', merupakan satu-satunya pasangan kasut lengkap yang dipakai Jordan dalam perlawanan final NBA dan telah disahkan, kata Sotheby's.