KUALA TERENGGANU: Tiga lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes keganasan jalan raya di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang pada Isnin lepas.
Perintah reman bermula hari ini hingga Sabtu itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Amir Zainul Muttaqin Mohd Zamri.
Semalam, polis menahan tiga lelaki berumur 39 hingga 44 tahun dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Alza melanggar belakang sebuah kereta Skoda dipandu seorang wanita di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang, dekat sini.
Susulan kejadian itu, suami wanita berkenaan berusia 62 tahun yang keluar untuk melihat keadaan kereta telah diserang oleh tiga lelaki terbabit, malah video kejadian itu turut tular menerusi media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA