PARIS: Kebakaran hutan besar melanda kawasan pelancongan Hutan Fontainebleau di selatan Paris, sekali gus memaksa sebahagian penduduk dipindahkan serta menjejaskan perkhidmatan kereta api dan lebuh raya utama.
Kebakaran yang merebak dengan pantas itu bermula lewat petang Ahad di kawasan hutan yang terletak kira-kira 60 kilometer dari ibu negara Perancis, lapor AP.
Jurucakap perkhidmatan bomba wilayah, Paul Laurain berkata api telah memusnahkan kawasan seluas lebih 800 hektar dan terus merebak akibat cuaca panas melampau susulan gelombang haba ketiga yang melanda negara itu.
Pihak berkuasa mengerahkan kira-kira 400 anggota bomba bersama pesawat pengebom air dari selatan Perancis bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan penempatan berhampiran.
Kebakaran itu turut memaksa pemindahan penduduk dari kira-kira 15 buah rumah di perkampungan Vaudoue.
Insiden berkenaan turut menjejaskan sebahagian laluan Lebuh Raya A6 yang merupakan antara laluan pengangkutan utama yang menghubungkan utara dan selatan Perancis, selain menyebabkan kelewatan sehingga enam jam bagi beberapa perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (TGV) di Stesen Gare de Lyon.
Peningkatan kekerapan kebakaran hutan berskala besar di Perancis tahun ini dikaitkan dengan kesan perubahan iklim, dengan kawasan terjejas dilaporkan mencecah 25,000 hektar setakat ini, iaitu dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.