DUNIA
Kebakaran hutan, gelombang haba paksa pemindahan berdekatan Grand Canyon

Dalam foto yang disediakan oleh Perkhidmatan Taman Negara, asap daripada kebakaran hutan menyelubungi Taman Negara Grand Canyon di utara Arizona. - Foto AP
ARIZONA: Kebakaran hutan yang marak dengan pantas di kawasan barat laut Taman Negara Grand Canyon, Amerika Syarikat (AS) telah memaksa penutupan North Rim dan mencetuskan arahan pemindahan segera kepada penduduk sekitar Jacob Lake, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa taman negara.
Kebakaran yang dikenali sebagai White Sage Fire, dipercayai berpunca daripada panahan petir pada 9 Julai, telah membakar lebih 1,000 ekar kawasan berhutan dan masih belum dapat dikawal langsung.
Gabungan suhu tinggi, angin kencang, kelembapan rendah dan tumbuhan kering telah mempercepatkan penyebaran api.
Semua pelawat di North Rim telah diarahkan untuk beredar serta-merta, manakala Lebuh Raya Negeri 89A ditutup sehingga diberitahu kelak.Jabatan Pengangkutan Arizona memberi amaran kepada pemandu agar menjangkakan kelewatan panjang dan mencari laluan alternatif.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran haba melampau, dengan suhu mencecah sehingga 115°F (46°C).
Aktiviti mendaki ke dalam Grand Canyon sangat tidak digalakkan, terutamanya antara jam 10 pagi hingga 4 petang, kerana risiko kesihatan yang tinggi.
Seorang pendaki berusia 67 tahun dari Texas dilaporkan meninggal dunia akibat kepanasan ketika cuba sampai ke Phantom Ranch pada minggu ini.
Ancaman kebakaran turut merebak ke Black Canyon of the Gunnison National Park di Colorado, kira-kira 418km dari Denver, di mana semua kakitangan dan pelawat telah dipindahkan selepas kebakaran tercetus di kedua-dua bahagian taman akibat panahan petir.
Pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus memadamkan api dari darat dan udara menggunakan bahan pemadam kebakaran.
Unit Pengurusan Kebakaran Upper Colorado River melaporkan sedang menangani lebih 10 kebakaran hutan yang berpunca daripada ribut petir di kawasan mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami