Skip to main content

Dunia

'Kebakaran Kalimantan lebih buruk, mengapa bukan bencana nasional?' - Soal wartawan Kompas

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pernah menggesa kebakaran hutan dan jerebu diisytiharkan sebagai bencana nasional pada 2015, ketika beliau masih mengetuai Parti Gerindra. - Gambar fail/Reuters
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pernah menggesa kebakaran hutan dan jerebu diisytiharkan sebagai bencana nasional pada 2015, ketika beliau masih mengetuai Parti Gerindra. - Gambar fail/Reuters

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kebakaran hutan di Kalimantan tahun ini disifatkan lebih buruk berbanding krisis 2015, namun belum diisytihar sebagai bencana nasional oleh kerajaan Indonesia.
  • Pertikaian timbul mengenai keberkesanan langkah pencegahan dan keperluan komitmen lebih besar daripada kerajaan pusat dalam pengurusan bencana ini.
  • Indonesia menyatakan kesediaan mempertimbangkan bantuan antarabangsa, namun tanggungjawab utama kekal pada pihak berkuasa tempatan.

KUALA LUMPUR: Kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia tahun ini disifatkan lebih buruk berbanding krisis 2015, namun ketiadaan pengisytiharan bencana nasional terus menimbulkan persoalan.

Ketua Kompas TV Banjarmasin, Fadli Azhari mempersoalkan mengapa kerajaan Indonesia masih belum mengisytiharkan krisis berkenaan sebagai bencana nasional meskipun keadaan semakin membimbangkan.

Menurutnya, kebakaran hutan bukan fenomena baharu, sebaliknya bencana tahunan yang berulang sehingga menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan langkah pencegahan jangka panjang.

"Keadaan seperti ini pernah berlaku pada 2015 dan kembali berulang pada 2026. Pada pandangan saya, kali ini lebih besar berbanding 2015," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Astro AWANI hari ini ketika mengulas krisis kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.

Fadli bagaimanapun mengakui tidak mengetahui pertimbangan sebenar kerajaan pusat yang masih belum meningkatkan status kebakaran berkenaan kepada bencana nasional.

"Mungkin kerana skopnya dianggap kecil atau dipandang remeh oleh kerajaan pusat," katanya.

Menurutnya, pengurusan bencana itu memerlukan komitmen lebih besar daripada kerajaan pusat kerana keupayaan pasukan tempatan sahaja masih belum mencukupi.

Beliau turut mengalu-alukan bantuan antarabangsa, namun menegaskan tanggungjawab utama menangani krisis berkenaan perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa Indonesia.

Sementara itu, persoalan mengenai pengisytiharan bencana nasional bukan kali pertama dibangkitkan terhadap pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

Pada penghujung 2025, keputusan tidak mengisytiharkan banjir besar dan tanah runtuh di Aceh, Sumatera Utara serta Sumatera Barat sebagai bencana nasional turut mencetuskan perdebatan.

Prabowo pada 1 Januari lalu mempertahankan keputusan itu atas alasan Indonesia masih mempunyai keupayaan menangani bencana berkenaan menggunakan sumber domestik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ketiadaan pengisytiharan itu tidak bermakna kerajaan memandang ringan penderitaan mangsa atau mengurangkan komitmen terhadap usaha pemulihan.

Menariknya, laporan media Indonesia turut mengimbas pendirian Prabowo pada 2015, ketika beliau dilaporkan pernah mencadangkan kebakaran hutan dan jerebu diisytiharkan sebagai bencana nasional.

Perbezaan pendirian yang dilaporkan itu sekali lagi mengundang persoalan mengenai pertimbangan kerajaan dalam menentukan tahap sesuatu bencana yang memerlukan campur tangan nasional.

Dalam perkembangan terbaharu, Indonesia turut menyatakan kesediaan mempertimbangkan bantuan antarabangsa bagi memperkukuh operasi pemadaman kebakaran hutan yang masih berterusan.

Must Watch Video

Advertisement