DUNIA
Kebuluran realiti mengerikan buat kanak-kanak Gaza - UNICEF

UNICEF menegaskan bahawa kekurangan zat makanan yang membawa maut dalam kalangan kanak-kanak telah mencapai tahap bencana, dengan bekalan makanan yang sangat terhad dan air bersih berada di bawah paras kecemasan. - Gambar/ Reuters
HAMILTON (Kanada): Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin mengeluarkan amaran keras berhubung krisis kebuluran yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza, menyifatkannya sebagai "bencana buatan manusia" ekoran sekatan berterusan oleh Israel hingga mengakibatkan kekurangan zat makanan serius dalam kalangan kanak-kanak, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- UNICEF mengeluarkan amaran keras mengenai krisis kebuluran yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza, menyifatkannya sebagai bencana buatan manusia akibat sekatan berterusan oleh Israel yang menyebabkan kekurangan zat makanan serius dalam kalangan kanak-kanak.
- Agensi PBB itu menegaskan bantuan kemanusiaan sangat terhad dan sukar disalurkan dengan selamat, serta menyeru agar semua bentuk bantuan dibenarkan masuk secara besar-besaran ke kawasan terjejas.
- Serangan berterusan di Gaza telah menyebabkan sekurang-kurangnya 18 kematian akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam lalu, menambah kepada krisis kemanusiaan yang semakin parah dan memerlukan tindakan segera di peringkat antarabangsa.
"Bantuan kemanusiaan sangat terhad dan sukar untuk disalurkan dengan selamat," kata agensi PBB itu lagi.
"Cukuplah. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mesti dibenarkan untuk menyalurkan semua bentuk bantuan secara besar-besaran kepada keluarga yang memerlukan, di mana sahaja mereka berada," tegas UNICEF sambil menekankan keperluan mendesak bagi tindakan antarabangsa.
Amaran UNICEF dikeluarkan ketika serangan tanpa henti oleh Israel terus menyasarkan seluruh Semenanjung Gaza, malah krisis kebuluran yang semakin mendalam terus meragut lebih banyak nyawa.
Sekurang-kurangnya 18 orang dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam lalu, sekali gus menyerlahkan bencana kemanusiaan yang semakin meruncing.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami