AMMAN: Raja Jordan Raja Abdullah II memberi amaran mengenai potensi pergolakan di rantau Asia Barat akibat "keganasan Israel" di Tebing Barat dan Baitulmaqdis selain menekankan keperluan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Amaran itu disampaikan Raja Abdullah II semasa baginda dihubungi Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada Khamis, menurut kenyataan Mahkamah Hashemite Diraja Jordan, lapor Agensi Anadolu.

Kenyataan itu menyatakan bahawa Raja Abdullah menekankan "keperluan gencatan senjata segera di Gaza dan perlindungan terhadap orang awam yang tidak bersenjata."

Raja Jordan juga menegaskan keperluan untuk meningkatkan usaha-usaha untuk menjamin penghantaran bantuan kemanusiaan dan bantuan yang mencukupi dan mampan ke Gaza, serta menzahirkan penghargaan baginda terhadap usaha Kanada dalam menyampaikan bantuan ke wilayah terkepung itu.

Selain itu, Raja Abdullah mengesahkan semula peranan penting UNRWA dalam menyediakan bantuan kepada lebih 2 juta penduduk Palestin di Gaza, yang memerlukan sokongan yang berterusan bagi membolehkan agensi berkenaan terus menyediakan perkhidmatan penting mengikut mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Baginda menekankan kepentingan mewujudkan rangka kerja politik bagi isu Palestin bagi mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh melalui penyelesaian dua negara. Baginda menegaskan bahawa kestabilan serantau adalah mustahil tanpa menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

Sehingga 30 Jan, sebanyak 18 negara dan Kesatuan Eropah memutuskan untuk menangguhkan pembiayaan mereka kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin atau UNRWA, berhubung dakwaan Israel bahawa 12 kakitangan UNRWA terlibat dalam konflik antara Israel-Hamas.

Serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas, membunuh sekurang-kurangnya 27,019 rakyat Palestin manakala 66,139 lagi cedera.

-- BERNAMA