Skip to main content

Dunia

Presiden Iran sahkan penyertaan Tehran dalam rundingan di Islamabad

FILE PHOTO: Iranian President Masoud Pezeshkian speaks during a meeting in Tehran, Iran, February 21, 2026. Iran's Presidential website/WANA (West Asia News Agency)/Handout via REUTERS/File Photo
Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Rabu mengesahkan yang Tehran akan menyertai rundingan yang akan datang dengan Amerika Syarikat (AS) di Islamabad. - Gambar fail/REUTERS

ISLAMABAD: Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Rabu mengesahkan yang Tehran akan menyertai rundingan yang akan datang dengan Amerika Syarikat (AS) di Islamabad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam perbualan telefon selama 45 minit dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Presiden Pezeshkian mengucapkan terima kasih kepada Sharif serta menghargai usaha kepimpinan Pakistan dalam mencapai gencatan senjata sementara antara Iran dan AS, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Advertisement

“Beliau mengesahkan yang Iran akan menyertai rundingan di Islamabad,” menurut kenyataan itu.

Sharif menyatakan penghargaan terhadap keputusan Iran untuk bersetuju dengan gencatan senjata serta menerima tawaran Pakistan untuk menjadi tuan rumah rundingan pada minggu ini.

Beliau juga menyampaikan penghormatan kepada Pemimpin Agung Iran Mojtaba Khamenei.

Format rundingan masih belum diketahui, namun sumber kerajaan di Islamabad memberitahu Anadolu bahawa diplomat tertinggi Pakistan, Ishaq Dar akan mewakili pihak Pakistan.

Sharif sebelum ini mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu dan menjemput delegasi dari AS dan Iran ke Islamabad pada Jumaat “bagi meneruskan rundingan ke arah mencapai perjanjian muktamad untuk menyelesaikan semua pertikaian.”

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran pada Selasa, dengan menyatakan yang Tehran mengemukakan cadangan 10 perkara yang “boleh dilaksanakan” untuk rundingan.

Pengumuman itu dibuat kurang daripada dua jam sebelum tamat tempoh yang berulang kali dilanjutkan oleh Trump kepada Iran untuk membuka semula Selat Hormuz dan menerima perjanjian atau berdepan dengan “kemusnahan seluruh tamadun.”

Majlis Keselamatan Nasional Agung Iran menyatakan yang cadangan 10 perkara yang disampaikan kepada Amerika Syarikat melalui perantaraan Pakistan merangkumi komitmen utama AS untuk tidak melakukan pencerobohan, kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz, penerimaan terhadap pengayaan uranium, serta pemansuhan semua sekatan utama dan sekatan sekunder.

Cadangan itu juga merangkumi pembayaran pampasan kepada Iran, pengunduran pasukan tempur AS dari rantau itu dan penamatan peperangan di semua medan, termasuk perang terhadap Hizbullah di Lubnan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video