Skip to main content

Dunia

'Kehidupan dan kuasa Ayatollah Ali Khamenei'

FILE — In this photo released by an official website of the office of the Iranian supreme leader, Supreme Leader Ayatollah Ali Khamenei attends a meeting commemorating Prophet Muhammad's birthday anniversary in Tehran, Iran, Sept. 21, 2024. (Office of the Iranian Supreme Leader via AP, File)
Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS). - Gambar/ AP

ISTANBUL: Kematian Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel pada Sabtu menandakan detik penting bagi Republik Islam itu, dengan hilangnya tokoh yang selama lebih tiga dekad menjadi pihak berkuasa tertinggi politik, ketenteraan dan ideologi negara itu, lapor Anadolu Ajansi.

Ulama berusia 86 tahun itu memegang kuasa yang meluas merangkumi angkatan tentera, badan kehakiman dan dasar luar Iran, dengan keputusan beliau mengatasi keputusan presiden mahupun parlimen.

Advertisement

Sejak memegang kepimpinan pada 1989 susulan kematian pengasas Republik Islam Ruhollah Khomeini, Khamenei mengemudi Iran mengharungi kesan perang Iran-Iraq, sekatan Barat yang melumpuhkan, pemulauan diplomatik, pergolakan domestik yang berulang dan konfrontasi yang semakin sengit dengan Washington serta Tel Aviv.

Bagi penyokongnya, beliau adalah pembela kedaulatan Iran yang teguh terhadap tekanan asing. Bagi pengkritik, beliau melambangkan sistem politik tanpa kompromi yang menolak pembaharuan dan perbezaan pendapat. 

Sebagai pemimpin agung, beliau berkhidmat sebagai ketua negara dan panglima tertinggi, mengekalkan kuasa muktamad ke atas angkatan tentera dan Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Khamenei dilahirkan pada 19 April 1939, di Mashhad di timur Iran dalam sebuah keluarga agama yang sederhana. Selepas menamatkan pendidikan rendah, beliau melanjutkan pengajian Islam di seminar di Mashhad sebelum meneruskan latihan teologi peringkat tinggi di Qom. Beliau juga dikenali kerana minatnya yang mendalam terhadap puisi dan sastera.

Pada awal 1960-an, beliau menyertai pergerakan Ayatollah Khomeini menentang Shah Mohammad Reza Pahlavi. Bermula pada 1963, beliau berulang kali ditangkap oleh SAVAK, perkhidmatan perisikan Shah, kerana menganjurkan protes serta mengedarkan risalah antirejim, dan menghabiskan beberapa tempoh dalam buangan.

Ketika protes besar-besaran melanda Iran pada 1978-1979 yang melemahkan monarki, tahanan politik dan orang buangan kembali ke kehidupan awam. Khamenei muncul semula di Mashhad dan bandar-bandar lain, membantu menganjurkan demonstrasi dan menggerakkan sokongan untuk agenda revolusi Khomeini.

Susulan Revolusi Islam 1979, Khamenei menyertai Majlis Revolusi dan meningkat naik dengan pantas dalam sistem politik baharu. Beliau berkhidmat sebagai timbalan menteri pertahanan, imam solat Jumaat Tehran, dan ahli parlimen.

Pada 1981, selepas pembunuhan Presiden Mohammad Ali Rajai, Khamenei dipilih sebagai presiden dan berkhidmat selama dua penggal berturut-turut sehingga 1989.

Pada tahun yang sama, beliau terselamat dalam percubaan bunuh apabila bom yang disembunyikan dalam perakam pita meletup semasa ucapan di masjid, menyebabkan lengan kanannya cacat kekal.

Selepas kematian Khomeini pada Jun 1989, Majlis Pakar Iran melantik Khamenei sebagai pemimpin agung, dengan semakan perlembagaan kemudiannya merasmikan jawatan itu di puncak sistem politik.

Walaupun pada mulanya dilihat sebagai pilihan kompromi, beliau secara beransur-ansur mengukuhkan kuasa, memperkasakan pejabat pemimpin agung ke atas kedua-dua cabang eksekutif dan perundangan.

Di bawah kepimpinannya, Iran mengamalkan dasar luar yang berpusat pada menentang pengaruh AS, meluaskan pakatan serantau dan mengekalkan pencegahan strategik.

Di peringkat domestik, politik Iran bergerak di antara arus reformasi dan konservatif. Kemenangan Presiden reformis Mohammad Khatami pada 1997 mencetuskan optimisme awam, namun Khamenei menyekat usaha untuk membuka Iran kepada Barat.

Kepresidenan Mahmoud Ahmadinejad pula lebih sejajar dengan keutamaan konservatif, walaupun pilihan raya 2009 yang dipertikaikan mencetuskan protes besar-besaran.

Pentadbiran kemudiannya mengemudi keseimbangan yang kompleks antara pragmatisme dan kekakuan ideologi. Presiden Hassan Rouhani mengusahakan penglibatan diplomatik, termasuk rundingan nuklear, manakala Presiden konservatif Ebrahim Raisi sejajar rapat dengan dasar Khamenei.

Tempoh jawatan Khamenei juga menyaksikan gelombang pergolakan yang berulang. Pada 2022, kematian Mahsa Amini dalam tahanan polis moral mencetuskan protes di seluruh negara yang mendedahkan rungutan sosial yang mendalam.

Protes meletus lagi pada akhir 2025, pada mulanya menentang kesusahan ekonomi tetapi kemudiannya memuncak menjadi demonstrasi antirejim besar-besaran.

Protes itu menyaksikan pertempuran ganas dan tindakan keras kerajaan, dengan pihak berkuasa Iran mengesahkan lebih 3,100 kematian, termasuk orang awam dan anggota keselamatan.

Program nuklear Iran menjadi antara isu utama dalam pemerintahan Khamenei. Apabila ketegangan meningkat dengan kuasa Barat, sekatan menyeluruh sangat menjejaskan ekonomi Iran.

Pada 2015, Tehran mencapai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), yang mengekang aktiviti nuklear sebagai pertukaran untuk pelepasan sekatan. 

Khamenei meluluskan rundingan itu tetapi kekal sangat ragu-ragu terhadap Washington. Perjanjian itu terbubar selepas AS di bawah Presiden Donald Trump menarik diri pada 2018 dan mengenakan semula sekatan, mendorong Iran mengurangkan pematuhannya.

Kematian Khamenei berlaku ketika Washington dan Tehran sedang terlibat dalam rundingan nuklear tidak langsung. Tuntutan AS dilaporkan termasuk sekatan kekal ke atas keupayaan nuklear Iran dan had simpanan uranium diperkaya, manakala pegawai Iran menegaskan mereka tidak akan melepaskan hak pengayaan atau menghantar simpanan ke luar negara serta menuntut pengurangan sekatan.

Khamenei secara konsisten menyifatkan cita-cita nuklear Iran sebagai bertujuan aman sambil menggambarkan sekatan sebagai paksaan ekonomi.

Dalam satu daripada hantaran media sosial terakhirnya pada 17 Feb, beliau berkata tenaga nuklear adalah "hak yang tidak boleh dinafikan" yang diiktiraf di bawah garis panduan antarabangsa dan mengecam campur tangan AS.

Sokongan terhadap kenegaraan Palestin kekal menjadi teras kepada pandangan dunia Khamenei. Susulan perang Israel ke atas Gaza pada Oktober 2023, beliau memperhebatkan retorik menentang Israel dan AS, menggesa negara-negara memutuskan hubungan dengan Israel dan menyeru pemulauan diplomatik.

Tonggak utama strategi Iran di bawah Khamenei adalah menyokong sekutu serantau, termasuk Hizbullah di Lubnan dan kumpulan bersenjata di seluruh Iraq serta Yaman, sebagai sebahagian daripada apa yang disifatkan oleh pegawai Iran sebagai "Paksi Penentangan" -- satu rangkaian yang sejajar menentang pengaruh Israel dan AS.

Kumpulan itu juga merangkumi puak Palestin termasuk Hamas dan bekas rejim Syria pimpinan Bashar al-Assad.

Khamenei kekal sebagai pengkritik lama dasar AS dan Israel, sering menggambarkan mereka sebagai seteru utama Iran. Ketegangan serantau meningkat selepas serangan udara Israel ke atas tapak Iran tahun lepas mendorong serangan balas oleh Tehran.

Beliau berulang kali berikrar bahawa Iran akan bertindak balas terhadap tindakan Israel dan menolak prospek rundingan dengan Tel Aviv, sambil memberi amaran bahawa Tehran akan terus menentang pencerobohannya.

Pada masa yang sama, pegawai AS dan Israel dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah memperbaharui gesaan untuk perubahan politik di Iran, sekali gus menonjolkan tahap konfrontasi yang semakin memuncak menjelang akhir pemerintahan Khamenei.

Dalam satu kenyataan mengumumkan kematian Khamenei, Trump berkata beliau “tidak dapat mengelak daripada perisikan dan sistem pengesanan kami yang sangat canggih dan, dengan bekerjasama rapat dengan Israel, tiada apa yang beliau, atau pemimpin lain yang telah terbunuh bersamanya, boleh lakukan.”

Presiden AS itu juga mengulangi seruan beliau agar “rakyat Iran merampas kembali negara mereka.”

Kematian Khamenei menyingkirkan antara tokoh paling berpengaruh dalam politik moden Asia Barat - seorang pemimpin yang mencorakkan identiti ideologi Iran, membina pakatan serantau serta membentuk konfrontasi berpanjangan dengan Barat selama beberapa dekad.

Ketidakpastian yang kini menyelubungi Tehran berpotensi menjadi sama signifikan dengan era pemerintahannya, tatkala Iran berdepan proses peralihan kepimpinan dalam suasana ketegangan serantau yang semakin memuncak dan landskap diplomatik yang kian rapuh.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video