Duchess of Sussex, Meghan Markle mengejutkan penduduk Britain apabila dilaporkan membelanjakan ratusan ribu dolar tahun lalu bagi membiayai kehidupan yang serba mewah.

Menurut seorang penulis biografi, Angela Lavin, Meghan dianggarkan membelanjakan AS$740,000 (RM3 juta) dengan AS$550,000 (RM2.3 juta) daripadanya untuk majlis rai bayi (baby shower) manakala AS$5.5 juta (RM 23 juta) untuk kos ubah suai rumah pada tahun ini.

Levin yang merupakan penulis Harry: Conversations with The Prince berkata, gaya kehidupan mewah Meghan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat lebih-lebih pembayar cukai, lapor The Sun.

“Saya merasakan Meghan berbelanja terlalu mewah. Semua orang tahu Ratu Elizabeth II mengamalkan kehidupan yang sederhana dan sentiasa berjimat.

“Hal ini menyebabkan rakyat Britain mula menyuarakan rasa kurang selesa dengan cukai yang dibayar dan menganggap tindakan Meghan itu amat tidak wajar,” katanya semasa ditemui The Conservative Woman.

Tambah Levin, baju persalinan yang dipakai Meghan semasa majlis pertunangan dengan Putera Harry bernilai AS$102,000 (RM426,000).

“Saya turut dimaklumkan kakitangan pasangan diraja itu kini sedang dalam proses untuk dipindahkan ke Istana Buckingham.

“Pegawai perhubungan mereka yang baru dilantik, Sara Latham juga dijangka perlu melapor diri di pejabat setiausaha komunikasi Ratu Elizabeth II,” katanya.

Terdahulu, awal tahun ini, pasangan berkenaan membelanjakan AS$5.5 juta (RM 23 juta) untuk mengubahsuai Fragmore Cottage sempena kelahiran putera sulung mereka, Archie meskipun lokasi kotej berkenaan sangat hampir dengan Lapangan Terbang Heathrow.

Difahamkan, mereka turut memiliki sebuah rumah ladang, Costwold bernilai AS$4.5 juta (RM18.8 juta) dan bakal menjalankan beberapa pengubahsuaian di lokasi terbabit.