AS kejar lagi sebuah kapal tangki minyak berhampiran Venezuela - Laporan

Sebuah helikopter tentera AS terbang di atas kapal tangki Centuries yang berdaftar di Panama, yang telah dipintas oleh Pengawal Pantai AS. - Foto REUTERS
CARACAS: Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) sedang mengejar sebuah lagi kapal tangki minyak di perairan antarabangsa berhampiran Venezuela, menurut laporan media AS, menjadikannya operasi ketiga dalam tempoh kurang dua minggu ketika Washington memperhebatkan tindakan terhadap kapal-kapal yang melanggar sekatan.
Menurut pegawai AS yang dipetik oleh agensi berita Reuters, kapal tersebut dipercayai sebahagian daripada “armada gelap” yang digunakan untuk mengelak sekatan ke atas Venezuela.
Kapal itu dilaporkan berlayar dengan bendera palsu dan tertakluk kepada perintah rampasan kehakiman.
“Kami sedang dalam usaha mengejar kapal tangki yang disyaki terlibat dalam pengelakan sekatan Venezuela,” kata seorang pegawai AS yang enggan dinamakan.
Tambahnya, kapal itu belum dirampas secara fizikal dan operasi mungkin melibatkan pemantauan dari udara atau laut.
Sebelum ini, dua kapal tangki lain telah dipintas oleh AS, termasuk sebuah kapal berbendera Panama bernama Centuries yang dirampas pada Sabtu lalu.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada kempen tekanan pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap kerajaan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Pentadbiran Trump baru-baru ini mengumumkan “sekatan maritim” terhadap semua kapal tangki yang terlibat dalam perdagangan minyak dengan Venezuela, termasuk yang beroperasi di pasaran gelap.
Pengarah Majlis Ekonomi Negara White House, Kevin Hassett, berkata dua kapal pertama yang dirampas didapati membekalkan minyak kepada negara-negara yang dikenakan sekatan.
Setakat ini, pihak berkuasa AS belum mendedahkan identiti kapal ketiga yang sedang diburu.
White House juga belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung operasi terbaharu ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


