KUALA LUMPUR: Keadaan tokoh wartawan negara, Adibah Amin, ketika ini masih kuat daripada segi minda walaupun kesihatannya uzur.
Adiknya, Khalilah Fadzilah Amin, berkata Adibah yang kini berusia 90 tahun masih mampu mengenali orang sekeliling dan berkomunikasi, meskipun dalam keadaan terlantar.
Advertisement
“Dia masih kenal orang dan dia boleh cakap, cuma perlahan suara dia,” katanya pada Malam Legasi Adibah Amin, di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, walaupun Adibah tidak lagi mampu menulis atau membaca seperti dahulu selepas diserang strok pada tahun 2008, kekuatan mindanya masih terserlah terutama dalam aspek bahasa.
“Dia masih boleh buat teka silang kata, dia banyak ingat perkataan sebab itu kekuatan dia, dan sekarang pun kadang-kadang tiba-tiba keluar suara dia,” jelasnya.
Fadzilah turut berkongsi momen menyentuh hati apabila kakaknya masih mampu memberi reaksi terhadap perkara di sekelilingnya.
“Tadi saya masuk bilik dia (Adibah) dan beritahu nak pergi malam legasi dia, mungkin dia tak faham semuanya, tetapi dia senyum dan dia tengok baju saya, dia kata cantik,” ujarnya.
Tambah Fadzilah, walaupun ingatan jangka pendek Adibah terjejas, kenangan lama masih tersemat kemas, mencerminkan ketajaman minda yang pernah menjadikan beliau antara penulis dan wartawan tersohor negara.
"Misalya sekarang kalau Adibah baca buku, apabila dia pergi ke muka surat seterusnya, dia sudah lupa isu kandungan muka surat yang sebelumnya.
"Jadi apa saya buat, saya tunjukkan dekat dia video novel yang dia suka baca dulu, dia ingat," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, buku As I Was Passing – Legacy Edition yang menghimpunkan koleksi penulisan ikonik Adibah dilancarkan ketika majlis Adibah Amin Tribute Night.
Dana sebanyak RM100,000 berjaya dikumpul bagi menyokong keperluan rawatan dan penjagaan harian Adibah.
Turut hadir, Tuanku Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Sepanjang kerjaya Adibah, beliau pernah berkhidmat sebagai editor di akhbar The Star dan New Straits Times selain mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengarang Berita di Berita Harian.
Beliau juga dikenali sebagai kolumnis, penterjemah, pendidik dan novelis serta pernah menjadi tenaga pengajar di Kolej Tunku Kurshiah.
Pada Jun 2024, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2023 pada Malam Wartawan Malaysia bersempena dengan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023.