Keluarga di Gaza 'kesejukan dan basah kuyup', PBB gesa sekatan ditarik balik

Kanak-kanak Palestin bermain di khemah penempatan sementara keluarga mereka di Zawayda, tengah Semenanjung Gaza, 18 Nov 2025. (Foto AP)
HAMILTON (Kanada): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa berkata rakyat Palestin di Gaza berdepan situasi kemanusiaan yang semakin merosot apabila hujan pada musim sejuk menyebabkan banjir, memusnahkan barangan serta meningkatkan tekanan dalam kalangan keluarga yang hilang tempat tinggal, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Rakyat Palestin di seluruh Gaza kini berada dalam keadaan sejuk dan basah kuyup berikutan hujan baru-baru ini, di samping rasa kecewa yang semakin meningkat apabila banjir melanda dan apa sahaja yang tinggal pada mereka turut musnah," kata Jurucakap Farhan Haq memetik kenyataan ketua bantuan PBB, Tom Fletcher.
Haq berkata beliau (Fletcher) menegaskan bahawa PBB dan rakan-rakannya sedang digerakkan untuk membantu, namun bantuan yang jauh lebih besar amat diperlukan.
Fletcher berkata sekatan yang masih dikenakan perlu ditarik balik bagi membolehkan lebih banyak bantuan masuk dengan segera.
Beliau turut memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) yang menegaskan bahawa PBB dan rakan kerjasama di lapangan "komited untuk menyediakan bantuan menyelamatkan nyawa, termasuk tempat perlindungan."
"Petugas kemanusiaan terus mengagihkan khemah, terpal dan barangan keperluan lain kepada keluarga yang terjejas, selain menilai keperluan orang ramai," katanya.
Haq memaklumkan bahawa Penyelaras Kemanusiaan untuk Wilayah Palestin yang Diduduki, Ramiz Alakbarov meluluskan "US$18 juta daripada dana bagi menyokong operasi kritikal di seluruh Gaza menjelang ketibaan musim sejuk dan hujan lebat yang semakin memburukkan keadaan hidup yang daif."
Berhubung kempen vaksinasi yang dilancarkan awal November, beliau berkata lebih "7,000 kanak-kanak bawah usia tiga tahun telah divaksin dalam tempoh lima hari pertama pelaksanaannya."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


