Kes kematian akibat pandemik virus COVID-19 di Indonesia semakin membimbangkan apabila 20 lagi kematian dicatatkan berlaku dalam tempoh 24 jam.

Kematian akibat virus itu kini berjumlah 78 kes, kata jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto.

Jumlah kes kematian paling tinggi dicatatkan di Jakarta iaitu sebanyak 46 kes kematian, diikuti Jawa Barat (11 kes), Jawa Tengah (enam), Banten (empat), Jawa Timur (tiga), Bali (dua), Yogyakarta (dua) dan masing-masing satu kes di Kepulauan Riau, Sumatera Selatan dan Sumatera Utara serta Sulawesi Selatan.

"Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 103 kes positif baharu, menjadikan jumlah kes positif kini berjumlah 893 kes," katanya.

Achmad Yurianto sebelum ini menyatakan kebimbangan pemerintah Indonesia terhadap kemungkinan kes positif boleh atau berkemungkinan meningkat drastik berdasarkan pengesanan kontak mereka yang positif dengan orang sekitar mereka sebelum ini (pengesanan kontak sebelum mereka yang positif itu disahkan positif).

Lebih 600,000 warga Indonesia berisiko positif virus COVID-19, kata Achmad Yurianto.

-- BERNAMA