AADK komited rangka inisiatif baharu perkasa SKUAD Antidadah

Zainuddin (tengah) ketika sidang media memberitahu AADK sedang membangunkan aplikasi SKUAD Antidadah bagi memudahkan urusan pendaftaran dan makluman aktiviti anjuran badan sukarelawan itu di seluruh negara. - Astro AWANI
PRAI: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) komited dalam usaha merangka inisiatif baharu ke arah memodenkan dan memperkasa sukarelawan SKUAD Antidadah di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainuddin Abdullah berkata, usaha ini selaras dengan aspirasi untuk terus melangkah ke hadapan dalam menjadikan sukarewalan SKUAD Antidadah sebagai gerakan komuniti yang lebih tersusun, berdaya tahan dan relevan dalam mendepani cabaran semasa.
Menurutnya, antara inisiatif dalam perancangan strategik AADK menerusi sukarelawan ini termasuklah mentransformasi digital melalui aplikasi SKUAD Antidadah.
“Selain itu, AADK juga ke arah memberi pengiktirafan dan insentif kepada sukarelawan serta lebih banyak lagi rakan pintar lain seperti syarikat, badan korporat atapun individu sebagai menghargai sumbangan ahli SKUAD Antidadah.
“Inisiatif lain pula ialah menubuhkan SKUAD Junior di peringkat sekolah dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun sebagai rakan SKUAD Antidadah,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Apresiasi SKUAD Antidadah Peringkat Kebangsaan 2025 di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, penubuhan SKUAD Junior dilihat dapat melahirkan generasi muda yang celik dadah sekali gus berperanan dalam usaha pencegahan awal isu dadah di sekolah.
“Selain itu, SKUAD Junior ini juga mampu menjadi pelapis kepada SKUAD Antidadah selepas mencapai umur 18 tahun kelak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen AADK untuk terus menyokong dan mempermudah segala urusan yang dilaksanakan semua rakan-rakan pintar AADK.
“AADK sangat menghargai komitmen semua rakan pintar dalam perkongsian ruang dan fasiliti, logistik atau aset, teknologi, latihan teknikal, program keusahawanan atau menjadi mentor dalam membimbing anak-anak muda daripada aspek kerjaya, kewangan, emosi dan pembangunan sahsiah,” jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


