DUNIA
Kematian boleh dielak ragut 1.8 nyawa setahun di Eropah - WHO

WHO berkata kematian ini boleh dicegah melalui langkah kesihatan awam yang berkesan atau dirawat dengan akses segera kepada penjagaan kesihatan berkualiti. - Foto fail/REUTERS
COPENHAGEN: Penyakit tidak berjangkit kekal sebagai punca utama kematian dan ketidakupayaan di Rantau Eropah, dengan 20 peratus lelaki dan 10 peratus wanita meninggal dunia sebelum usia 70 tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
WHO melaporkan rantau itu mencatatkan 1.8 juta kematian yang boleh dielakkan setiap tahun akibat penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit pernafasan kronik, diabetes dan seumpamanya. Kematian ini boleh dicegah melalui langkah kesihatan awam yang berkesan atau dirawat dengan akses segera kepada penjagaan kesihatan berkualiti, katanya.
Daripada jumlah kematian boleh dielakkan itu, 60 peratus berpunca daripada faktor yang boleh dicegah seperti penggunaan tembakau dan alkohol, tekanan darah tinggi, pemakanan tidak sihat, obesiti dan kurang aktiviti fizikal - yang semuanya boleh ditangani melalui dasar kesihatan awam yang lebih kukuh, menurut WHO.
Baki 40 peratus adalah daripada punca yang boleh dirawat di mana kematian boleh dicegah atau dilengahkan melalui diagnosis awal dan akses kepada rawatan berkualiti."Penyakit tidak berjangkit bukan sahaja boleh dicegah atau dirawat, tetapi juga sering diabaikan," kata Pengarah Serantau WHO Hans Kluge.
"Penemuan kami menunjukkan hampir dua juta kematian boleh dielakkan setiap tahun dengan pencegahan atau rawatan yang lebih baik, sambil menjimatkan berbilion dolar dalam kos penjagaan kesihatan ... kita mempunyai kuasa dan alat untuk mengubah keadaan," katanya.
WHO berkata jurang antara negara dalam rantau itu telah berkurangan sejak 2010, tetapi perbezaan ketara masih wujud. Faktor risiko yang boleh dicegah termasuk penggunaan tembakau, obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes meningkat dan semakin tertumpu di bahagian timur rantau berkenaan.
Rantau Eropah WHO merangkumi Rusia, Ukraine, Turkiye dan negara-negara di Asia Tengah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami