NEW YORK: Angka kematian orang awam dan kemusnahan semakin meningkat di Iran dan Lubnan, manakala keluarga yang hilang tempat tinggal di Gaza sedang bergelut dengan kerosakan akibat hujan lebat serta halangan berterusan terhadap penghantaran bantuan, kata pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, lapor Xinhua.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan di Iran, kematian dilaporkan di sekurang-kurangnya 20 daripada keseluruhan 31 wilayah, dengan angka tertinggi dicatatkan di Tehran dan Hormozgan.
Advertisement
Kementerian Kesihatan Iran melaporkan setakat Rabu, terdapat 23,000 mangsa akibat konflik itu, termasuk 1,801 kanak-kanak dan 4,150 wanita. Kementerian itu juga melaporkan 23 kematian dan 112 kecederaan dalam kalangan pekerja kesihatan setakat Rabu.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) melaporkan satu kematian dan 14 kecederaan dalam kalangan pekerja bantuan setakat Khamis.
Konflik itu memaksa orang ramai melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat, sekali gus mengganggu akses kepada sokongan penting, perkhidmatan asas, dan sumber pendapatan, kata OCHA.
Agensi Pelarian PBB (UNHCR) menyatakan terdapat lebih daripada 33,300 warga Iran dilaporkan menyeberang kembali dari Turkiye ke Iran, dan 36,000 orang pulang ke Afghanistan sejak bermulanya perang pada 28 Feb.
OCHA berkata pihak berkuasa Iran, dengan sokongan daripada IRCS, terus menerajui usaha tindak balas termasuk mencari dan menyelamat, rawatan perubatan kecemasan, dan perlindungan sementara.
Program Makanan Sedunia, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), UNHCR, dan Program Pembangunan PBB, bersama rakan kemanusiaan mereka, sedang menyokong bantuan makanan, kesihatan, air, pendidikan dan bantuan pelarian.
Menurut pejabat kemanusiaan itu, di Lubnan, Kementerian Kesihatan Awam negara itu melaporkan seramai 1,094 orang terbunuh dan lebih 3,000 cedera. Lebih satu juta orang hilang tempat tinggal, manakala arahan perpindahan terus dikeluarkan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan terdapat 77 serangan ke atas pekerja penjagaan kesihatan di Lubnan, termasuk 53 kematian dan 117 kecederaan.
Sekurang-kurangnya 50 pusat penjagaan kesihatan primer dan lima hospital ditutup akibat permusuhan, manakala sembilan hospital dan empat pusat penjagaan kesihatan primer mengalami kerosakan.
Sementara itu, di seluruh Semenanjung Gaza yang berdepan sekatan bantuan yang lebih berat sejak konflik memuncak di Asia Barat, hujan lebat merosakkan tempat perlindungan dan harta benda penduduk yang hilang tempat tinggal sejak Rabu.
OCHA menyatakan yang sejak Rabu, sekurang-kurangnya 120 keluarga mendapati khemah atau jenis perlindungan lain mereka dinaiki air, musnah, atau rosak.
Walau bagaimanapun, pejabat itu berkata operasi bantuan, seperti kebanyakan kerja bantuan di Gaza, tertakluk kepada pelbagai halangan, termasuk sekatan ke atas import barangan kritikal dan gangguan kepada rantaian bekalan.
Menurut OCHA, laporan mengenai bedilan, tembakan, dan serangan lain terus berlaku. Pada Rabu, satu serangan udara memusnahkan 15 tempat perlindungan dan merosakkan 30 yang lain di tapak penempatan sementara di Deir al Balah, yang meningkatkan lagi kebimbangan terhadap perlindungan orang awam.
"Kawasan kediaman harus dilindungi; ini termasuk mengelakkan penempatan objek ketenteraan di dalam atau berhampiran kawasan itu dan menghormati larangan terhadap serangan sewenang-wenangnya," kata OCHA.
-- BERNAMA-XINHUA