EMPAT tahun konflik yang tidak berkesudahan di bumi Yaman. Ianya kini menjadi sebuah negara yang mencatatkan rekod krisis kemanusiaan yang terburuk ketika ini. Sebuah negara diantara yang termiskin dalam rantau Arab kini menjadi semakin sengsara akibat konflik di antara pihak yang sedang bertelagah.
Jutaan rakyat Yaman kini berhadapan dengan tiga tragedi kerakusan tangan manusia, konflik bersenjata berat yang dahsyat, kebuluran dan malnutrisi serta penularan wabak kolera, difteria dan yang terbaru H1N1.
Rekod yang dicatatkan oleh World Humanitarian Organization (WHO) menunjukkan:
* Sejumlah lebih 22 juta atau 75% penduduk Yaman ketika ini memerlukan bantuan kemanusiaan segera;
* Lebih 2 juta terpaksa melarikan diri dan kehilangan tempat tinggal (Internally displaced Person);
* Lebih 16 juta tidak mendapat akses kepada bantuan perubatan dan air bersih;
* 11 juta kanak-kanak turut menjadi mangsa di mana 1.5 juta daripadanya berhadapan dengan malnutrisi akut dan 400,000 sedang kritikal!
* 18 juta penduduk Yaman berhadapan dengan krisis makanan dengan 8.4 juta tidak tahu bilakah hidangan makanan seterusnya akan dapat mereka nikmati;
* 1 juta kes kolera dilaporkan sehingga Disember 2017 disebabkan oleh penggunaan air yang tidak bersih dan sehingga kini telah membunuh hampir 2,500 orang;
* Dilaporkan setiap 10 minit yang berlalu, seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan juga penyakit-penyakit lain yang tidak dapat dirawat dengan sempurna kerana kekurangan fasiliti dan juga ubat-ubatan.
Fakta-fakta yang diperolehi Global Peace Mission (GPM) Malaysia melalui rakan lapangan di Yaman benar-benar mendesak GPM untuk memulakan kempen bantuan kemanusiaan untuk Yaman dengan segera.
Semuanya mula diatur dengan pelancaran tabung bantuan kemanusiaan #PeduliYaman bersama Karangkraf yang mendapat dokongan YB Dato' Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri, seterusnya koordinasi gerak kerja untuk misi bantuan bersama pasukan lapangan GPM di Yaman sehinggalah petugas kemanusiaan GPM mula berangkat dari Kuala Lumpur dan akhirnya tiba di Yaman.
Ikuti perkongsian perjalanan penulis dan juga petugas kemanusiaan GPM dan wakil wartawan dari Bernama semasa menghantar bantuan kemanusiaan #PeduliYaman.
Sedari awal penulis sudah meletakkan diri dalam keadaan bersedia untuk sebuah perjalanan yang panjang menuju bumi Yaman. Perjalanan dari Kuala Lumpur kami mulakan dan singgah transit di Jeddah sebelum meneruskan perjalanan ke Mesir. Kami perlu selesaikan beberapa perkara di Mesir terutama makluman kepada Kedutaan Yaman di Mesir mengenai perjalanan kami. Setelah segala urusan selesai dan tiket penerbangan dari Mesir ke Aden yang kekerapannya hanya dua kali sehari sahaja telah dibeli maka bermulalah misi dan perjalanan yang sebenar.
Saat kaki menjejak Lapangan Terbang Antarabangsa Aden, Yaman, terasa tenang sekali. Segala keserabutan dan hingar-bingarnya bumi Mesir ditinggalkan jauh. Kedinginan bumi Mesir juga tidak lagi dirasai. Peluh mula berjujuran. Walaupun ketika ini musim sejuk, keadaan di Yaman agak berbeza. Sebahagian kawasannya merasai suhu yang rendah manakala sebahagian yang lain tidak. Baju sejuk yang dipakai dari bumi Mesir dilepaskan dan disimpan di dalam beg galas.
Lapangan terbang dipenuhi dengan mereka yang baru tiba dan menanti beg masing-masing dan sedikit demi sedikit menjadi lengang dan sunyi. Tidak ada sebarang komputer atau sebarang peralatan elektronik yang terpasang termasuk di kaunter imigresen. Menggambarkan operasi lapangan terbang ini pada kadar yang sangat minima. Hanya berfungsi untuk penerimaan beberapa penerbangan keluar dan masuk sahaja. Jika dilihat dari luar, ianya umpama lapangan terbang yang sudah tidak lagi berfungsi.
Selamat datang ke Yaman! Ujar salah seorang dari koordinator yang akan membantu kami sepanjang berada di sini. Teruja juga. Saat kereta bergerak, sedari dari lapangan terbang lagi mata kami liar memandang kesan-kesan peperangan yang jelas di bangunan-bangunan yang runtuh dan rosak, kesan tembakan di dinding-dinding malah keadaan jalan dan longgokan sampah yang tidak diselengggara dengan baik.
Setelah 3 tahun pertempuran di antara puak Houthi dan juga kerajaan Abdrouboh Mansour Hadi berlalu di Aden, bandar ini berusaha untuk kembali seperti asal. Dan ianya menjadi tumpuan ramainya pelarian dari Hudaidah dan juga Taiz untuk mendapatkan perlindungan daripada peperangan yang sedang berlaku di sana. Suasana di bandar Aden walaupun tampak sibuk namun di sebaliknya tersimpan kisah-kisah duka pelarian yang menghuni khemah-khemah usang.
Tinjauan penulis dan pasukan GPM di beberapa kem pelarian di Aden ini memberikan gambaran betapa daifnya keadaan mereka. Perjalanan lebih 450km dari kawasan asal mereka sehelai sepinggang dan kebanyakan kem sedia ada sudah penuh dan gagal untuk menampung keperluan mendesak mereka yang tiba dari Hudaidah mahupun Taiz.
Sebahagian mereka terpaksa menghuni kawasan kilang dan perindustrian yang telah terbakar, terbiar dan hancur, sebahagian yang lain menghuni di bangunan sekolah yang juga telah musnah angkara peperangan dengan segala macam kekurangan. Mereka cantumkan kain-kain guni atau kanvas dijadikan dinding buat menutup 'rumah' mereka. Tiada sebarang tandas yang sempurna, bekalan air yang sangat terhad, keadaan dapur yang sangat-sangat tidak bersih dan hanya menggunakan arang dan kayu api untuk memasak, tidur hanya beralaskan tanah dan berbumbungkan langit, mujur sahaja cuaca di Aden tidak begitu dingin ketika ini.
Saat menziarahi mereka yang berlindung di bangunan sekolah yang terbiar, penulis terpandang sebuah dulang yang dipenuhi cebisan-cebisan roti yang sedang dijemur. Ditanya kenapa begitu, mereka sebutkan bagi mengelak roti tersebut berkulat kerana sebahagiannya dicari dan diambil dari timbunan-timbunan sampah. Ah! Tak mampu rasanya untuk penulis terus mengaju banyaknya soalan dalam benak fikiran. Di dalam hati tidak henti-henti penulis berdoa semoga Allah ringankan penderitaan mereka dan diberikan ketabahan menempuh hari-hari yang mendatang.
Jujur tempat sebegini tidak selayaknya dihuni manusia. Namun apalah daya keadaan yang memaksa dan akhirnya mereka terpaksa redha sahaja dengan ketentuan dariNya.
Keesokan harinya GPM tiba sekali lagi di kawasan ini untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan yang cukup untuk hampir seratus buah keluarga seramai 6 orang bertahan selama sebulan. Beberapa ketua keluarga merapati penulis dan menyampaikan rasa terharu dan terima kasih atas bantuan daripada rakyat Malaysia dan mengatakan inilah kali pertama mereka mendapat bantuan sebegini. Nah, sekurang-kurangnya roti yang mereka makan bukan dari bekas timbunan sampah!
Bandar Aden kami tinggalkan dan menempuh hampir 14 jam perjalanan menuju ke Sana'a. Ibu negara Yaman yang kini dikuasai oleh puak Houthi. Perjalanan yang bermula selepas perut diisi dengan makan tengahari melalui tidak kurang daripada 50 pos pengawal yang dijaga samada oleh kelompok yang menyokong Houthi atau yang menyokong kerajaan Adroubouh Mansor Hadi. Setiap satunya dilalui dengan agak mudah cuma sesekali kami ditahan dan soal siasat dijalankan mengenai kemana kami mahu pergi dan apa tujuan kami ke sana setelah melihat ada kelibat 'orang luar' di dalam kenderaan.
Bayu dingin menyapa saat kami tiba di Sana’a sekitar pukul 3 pagi. Lelah juga perjalanan ini. Kami mengejar masa dan perlu selesaikan banyak perkara di Sana’a sebelum pulang semula ke Aden dan terus berlepas ke Kuala Lumpur.
Suasana di Sana'a pada pagi berikutnya hingar-bingar dengan sibuknya masyarakat di sini dengan urusan harian. Haba matahari yang semakin mula menegak mula sedikit sebanyak menghilangkan kedinginan hawa di bumi Sana'a yang lebih rendah berbanding di Aden. Keadaan di Sana'a sedikit berbeza. Kesan serangan seperti bekas peluru di dinding-dinding bangunan jarang kelihatan, tidak seperti Aden. Cuma ada beberapa bangunan yang terkait dengan kerajaan yang menjadi tumpuan serangan dan mengakibatkan ada sebahagiannya musnah dan runtuh.
Kami berkesempatan untuk melawat ke Hospital Pengajian Republik di Sana’a ini yang merupakan hospital kedua terbesar di Yaman bagi mendapatkan maklumat mengenai keperluan bantuan di samping mendapatkan gambaran sebenar keadaan malnutrisi dan kebuluran di kalangan kanak-kanak dan bayi di samping wabak-wabak penyakit yang lain seperti kolera, difteria serta H1N1.
Apa yang mengejutkan kami apabila diberitahu oleh Naib Pengerusi Perhubungan Klinikal dan Teknikal Hospital ini, Dr Obaid AlAdemi, bahawa hospital tersebut dalam banyak waktunya terpaksa berfungsi dengan menggunakan generator dan berhadapan dengan masalah kewangan yang besar mengakibatkan petugas perubatan dibayar dengan gaji yang sangat minima malah ada yang tidak dibayar langsung. Kekurangan ubat-ubatan di samping kelengkapan hospital yang sangat minima turut menjadi cabaran kepada para perawat dalam menangani pesakit yang datang untuk menerima rawatan apatah lagi menangani wabak penyakit yang berlaku.
Kesempatan melawat Pusat Rawatan Rapi yang menempatkan bayi yang baru lahir dan berhadapan dengan masalah malnutrisi benar-benar memberikan kesan kepada kami. Seorang demi seorang wajah mulus anak-anak ini kami tenung, tergambar kesakitan yang sedang dialami, tersentak-sentak dada menggambarkan sukarnya nafas yang ditarik, kurusnya tubuh yang tiada mempunyai zat, setiap seorang daripadanya sedang berjuang untuk terus hidup. Namun kenyataan daripada seorang doktor di situ benar-benar meluluhkan hati kami. Beliau sebutkan kebanyakan bayi yang lahir pramatang dan tidak cukup bulan oleh ibu yang mengalami masalah malnutrisi akut tidak mampu untuk meneruskan kehidupan mereka. Kami tertunduk sepi, hanya kedengaran bunyi mesin mengira detik nadi anak-anak kecil tidak berdosa ini. Kami gagal mengempang air mata. Ya Tuhan!
Dalam perjalanan menuju ke sebuah kem pelarian, penulis sempat mendapatkan beberapa rujukan fakta mengenai keseriusan masalah malnutrisi dan kebuluran di Yaman ketika ini. Ternyata laporan dari Save The Children menyatakan sejumlah 85,000 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun telah meninggal dunia akibat kebuluran semenjak 4 tahun yang lepas dan melihat kepada situasi peperangan yang masih berlanjutan di Yaman ketika ini memungkinkan angka itu akan terus meningkat! PBB malah mengklasifikasikan keadaan ini adalah yang terburuk dalam tempoh 100 tahun. Nafas berat dihela dan penulis lontarkan pandangan kosong di luar jendela kenderaan yang sedang bergerak dan terpampang longgokan sampah sarap dan tidak semena-mena bau busuk menerpa rongga hidung.
Kenderaan yang kami naiki tiba-tiba membelok masuk ke kawasan longgokan sampah sarap tersebut. Nah, ternyata ada pelarian yang menghuni di khemah guni usang dengan dikelilingi sampah dan bau busuk. Turun sahaja dari kenderaan bayu sejuk pantas menghembus batang tubuh kami. Waktu itu, sinar mentari mula meminggir. Menggigil kami menahan kesejukan. Ah, bagaimana pula keadaan mereka yang bermalam di dalam khemah using seperti ini. Tidak terbayangkan.
Berlari-lari anak-anak yang berada di kawasan itu mendapatkan kami dan sempat juga kami mengagihkan biskut dan makanan ringan buat mengalas perut mereka yang tampak jelas sedang kelaparan. Penulis menggenggam tangan seorang tua dan membisikkan bahawa esok kami akan kembali untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada mereka yang menghuni di kem yang diberi nama Azragai ini. Terukir senyuman sang tua penuh pengharapan agar esok perut anak dan keluarga tidak lagi kelaparan.
Maka berlalulah kami meninggalkan kem ini dan kembali pada keesokan harinya untuk menyempurnakan bantuan buat mereka. Sedang sibuk menguruskan agihan bantuan, beberapa orang ketua keluarga merapati penulis dan memohon untuk berikan juga keperluan dapur buat mereka. Ternyata ada 34 buah keluarga yang baru tiba di kem tersebut yang masih belum direkodkan dan mereka tidak mempunyai sebarang bekalan makanan. Salah seorang yang cengkung wajahnya dan kelihatan amat lemah datang menggenggam tangan penulis mengatakan keluarganya sudah 2 hari tidak menjamah apa-apa. Penuh pengharapan, terkadang bicara tersekat menahan sebak.
Penulis kaget dan cuba mengira-ngira duit sumbangan yang berbaki. Dalam hati tidak berhenti berdoa agar semoga cukuplah duit yang berbaki ini buat rezeki mereka. Alhamdulillah, cukup! Penulis sebutkan kepada wakil lapangan GPM untuk tambahkan lagi bekalan dapur untuk 34 buah keluarga. Tetapi bekalan hanya boleh dibeli esok.
Antara hampa dan syukur. Berbaur di wajah ketua keluarga apabila dimaklumkan. Hampa kerana terpaksa menahan lapar untuk sehari lagi dan syukur sekurang-kurangnya mulai esok dan sebulan yang mendatang isteri dan anak mereka mempunyai bekal makanan. Malah kami turut juga memberikan sedikit sumbangan tunai kepada keluarga yang perlu membawa anak mereka yang sedang sakit dan memerlukan ubat atau rawatan segera. Penulis memegang dan mencium anak-anak yang terbaring longlai di atas dokongan sang ibu. Berkali-kali. Mengharap agar diangkat segala kesakitan anak ini.
Apa yang penulis catatkan ini hanya sekelumit dari kesengsaraan hilangnya punca hidup, musnahnya rumah yang dibina hasil keringat berpuluh tahun, luluhnnya jiwa mencari teduh di bangunan dan kawasan terbiar penuh sampah dan tidak layak dihuni. Diusung bersama anak dan isteri. Penuh duka. Penuh lara. Peperangan yang meragut segalanya. Rakus!
Terkadang penulis termenung sendirian. Merenung satu-satu wajah yang terlakar sedikit gembira menerima bantuan. Leka memerhati anak-anak yang berlari berkejaran antara satu sama lain. Melihat pula sang ayah dan ibu tua mengusung satu persatu bekalan makanan yang diagihkan untuk mereka pulang ke 'rumah'.
"Terima kasih Malaysia, kami mendoakan kebaikan untuk rakyat Malaysia, kami sayang kalian kerana Allah, semoga Allah memberkati kalian semua." Tidak henti-henti doa dan rasa terima kasih mereka kepada rakyat Malaysia yang telah membantu sambil berlalu pergi ke 'rumah' dan mengusung titipan bekalan makanan yang telah diagihkan dengan senyum yang terukir.
Bumi Sana'a kami tinggalkan menuju kembali ke Aden sebelum meneruskan perjalanan ke Mesir, Arab Saudi dan akhirnya kembali ke Malaysia. Penulis bertekad untuk kembali dan terus menyalurkan membantu rakyat Yaman yang memerlukan. InsyaAllah.
Salurkan bantuan untuk Misi Bantuan Kemanusiaan #PeduliYaman secara dalam talian di www.billplz.com/peduliyaman atau pindahan wang ke akaun Global Peace Mission:
Maybank: 5642 2161 1602
Bank Islam: 1402 3010 02922 4
*Syahrir Azfar Saleh ialah Ketua Pegawai Operasi, Global Peace Malaysia (GPM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Syahrir Azfar Saleh
Tue Mar 19 2019
Majlis Pelancaran Tabung Bantuan Kemanusiaan Yaman oleh Saifuddin (empat, kiri). - Foto GPM
Pemandu Mercedez terbakar, suspek langgar lari motosikal?
Pemandu kereta Mercedez Benz 45 yang terbakar di tol Wangsa Maju pada petang Ahad juga merupakan dalang kepada insiden langgar lari sebuah motosikal di Lebuhraya SPE dan telah dikenal pasti pihak polis. Perkara itu seperti yang disahkan oleh kakak mangsa Syahrizah Saini ketika dihubungi Astro AWANI yang turut memaklumkan bahawa adiknya kini dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur.
Gempa bumi dengan magnitud 6.1 gegarkan Kepulauan Tonga - GFZ
Satu gempa bumi dengan magnitud 6.1 menggegarkan Kepulauan Tonga pada pukul 1503 GMT, Ahad.
Menjelajah bawah tanah untuk 'shopping' Krismas
Musim perayaan hujung tahun tidak dinafikan menjadi musim yang paling mengujakan buat penduduk dunia. Manakan tidak, ada pelbagai acara, persembahan, hiasan berwarna warni, serta pengalaman beli-belah istimewa menanti peminat 'kaki shopping'. Di Jerman misalnya, tampil dengan kelainan tersendiri...iaitu? bazaar Krismas bawah tanah.
Presiden Yoon ingkar perintah hadir, pendakwaan akan kemuka perintah kedua
Pendakwa Raya Korea Selatan mengesahkan bahawa Presiden Yoon Suk Yeol gagal mematuhi perintah hadir yang dikeluarkan pada Ahad, sambil menambah bahawa satu lagi perintah akan dihantar tidak lama lagi.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 15 Disember 2024.
Tumpuan Isnin – 16 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Tiga lagi suspek kes bunuh lelaki di pangsapuri direman
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi ketika mengesahkan penahanan tersebut berkata, kesemua suspek rakyat tempatan, berusia antara 32 hingga 48 tahun dan ditangkap di lokasi berbeza. #AWANInews
Lima anggota 'Bali Nine' sudah kembali ke Australia
Lima anggota 'Bali Nine' yang menjalani hukuman pemenjaraan seumur hidup di Indonesia sudah dipindahkan ke negara asal mereka, Australia. Perkara itu seperti yang disahkan Perdana Menteri Anthony Albanese yang memaklumkan lima warganya itu yang diberkas pihak berkuasa dalam kegiatan penyeludupan dadah di pulau peranginan terkenal, Bali pada April 2005.
Lima maut, puluhan migran hilang di Pulau Gavdos
Lima individu terkorban dalam kejadian bot migran yang terbalik di perairan Greece awal pagi Sabtu. Menurut Kementerian Luar Pakistan pada Ahad, 47 warganya dapat diselamatkan dalam tragedi yang berlaku berhampiran Pulau Gavdos di selatan Crete itu.
Parti pemerintah Korea tolak cadangan badan perundingan
Ketua Whip Parti Kuasa Rakyat Korea Selatan, Kweon Seong-dong, pada Ahad menegaskan bahawa parti pemerintah telah menolak cadangan parti pembangkang utama untuk menubuhkan badan perundingan bagi menstabilkan pentadbiran negara
GPM Malaysia kecam serangan bom di Pakistan, mahu tindakan segera diambil
Global Peace Mission (GPM) Malaysia kecam insiden pengeboman ngeri di Stesen Kereta Api Quetta di Balochistan, Pakistan.
GPM sedang atur bantuan kecemasan AS$10,000 untuk masyarakat di Lubnan
Bantuan berbentuk keperluan asas bagi tempat tinggal sementara selain makanan panas serta keperluan bayi dan kanak-kanak sedang diatur.
GPM kutuk pengeboman masjid di utara Kunduz, Afghanistan
GPM berkata tindakan pengeboman itu hanya akan meningkatkan lagi tekanan kepada masyarakat Afghanistan.
Kembali bertamu di bumi Yaman
Jutaan rakyat Yaman kini berhadapan dengan tiga tragedi kerakusan tangan manusia, konflik bersenjata berat yang dahsyat, kebuluran dan malnutrisi.
Bestnya pergi misi bantuan kemanusiaan!
Apa yang kalian lihat bestnya pergi misi-misi bantuan kemanusiaan di dalam dan juga luar negara hakikatnya tidaklah semuanya indah.