Sekumpulan pakar bedah di Itali mencipta sejarah apabila berjaya memisahkan sepasang bayi kembar siam yang bercantum di bahagian belakang tengkorak mereka.

Kembar perempuan berkenaan, Ervina dan Prefina Bangalo dilahirkan pada 29 Jun 2018 di Mbaiki, Afrika.

Mereka bercantum di bahagian belakang tengkorak dan berkongsi saluran darah yang menghubungkan otak.

Pembedahan berkenaan sekali gus disifatkan antara yang paling sukar dan jarang dilakukan.

Kes kembar siam seumpama ini dilaporkan berlaku sekali dalam setiap dua juta kelahiran.

Pembedahan itu memakan masa lebih 18 jam yang dilakukan pada 5 Jun lalu, yang turut melibatkan 30 doktor serta jururawat.

Keadaan kedua-dua bayi itu juga bertambah baik sebulan selepas pembedahan ketiga mereka itu.

Ketua Bedah Saraf Pediatrik Hospital Pediatrik Bambino Gesu, Dr Carlo Marras berkata, misi pembedahan itu adalah untuk memastikan kedua-duanya dapat dipisahkan dan dilakukan dengan sempurna.

Dr Maras adalah orang yang bertanggungjawab memastikan pembedahan itu berjaya selepas melakukan perancangan memisahkan bayi kembar berkenaan sejak dua tahun lalu.

Setakat ini, kedua-duanya dilaporkan tidak mengalami kesakitan saraf.