PHNOM PENH: Sebuah mahkamah di Kemboja pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun ke atas bekas ketua pembangkang Kem Sokha selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan khianat, lapor agensi berita Xinhua.

Bekas presiden Parti National Rescue Kemboja itu sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin sejak November 2019 dan hari ini beliau hadir di Mahkamah Perbandaran Phnom Penh untuk mendengar keputusan kesnya.

Pasukan keselamatan telah ditempatkan di sekitar mahkamah untuk mengelakkan sebarang gangguan terhadap prosiding ketika segelintir penyokong Sokha berhimpun di luar mahkamah.

"Mahkamah Perbandaran Phnom Penh mendapati Kem Sokha bersalah atas tuduhan khianat dan menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun," kata hakim Mahkamah Koy Sao.

Kem Sokha, 69, ditahan pada 3 Sept 2017 kerana "bersubahat dengan kuasa asing" dalam cubaan untuk menggulingkan kerajaan Kemboja.

Dia dibebaskan daripada tahanan rumah pada November 2019 tetapi dihalang meninggalkan negara atau mengambil bahagian dalam aktiviti politik.

Di bawah undang-undang Kemboja, banduan mempunyai tempoh sebulan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah.

-- BERNAMA