PHNOM PENH: Kemboja mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 23 peratus dalam eksport basikal dan basikal elektrik (e-basikal) sepanjang sembilan bulan pertama 2026, didorong oleh peningkatan pesanan antarabangsa serta integrasi lebih kukuh ke dalam rantaian bekalan serantau, lapor Xinhua.
Data yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan pada Khamis menunjukkan bahawa negara Asia Tenggara itu mengeksport basikal dan e-basikal bernilai AS$552 juta dari Januari hingga September.
Angka itu mencerminkan peningkatan besar berbanding AS$552 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Setiausaha Negara, Penn Sovicheat yang juga jurucakap Kementerian Perdagangan berkata, penghantaran tersebut kebanyakannya ke pasaran utama Barat, termasuk Amerika Syarikat, negara-negara Eropah, Kanada dan Australia.
"Basikal dan e-basikal telah berkembang menjadi salah satu eksport barangan perkilangan utama Kemboja, sebaris dengan pakaian, alas kaki, barangan perjalanan dan tayar kereta," katanya kepada Xinhua.
Timbalan Pengarah Pusat Pengajian China-ASEAN di Universiti Teknologi dan Sains Kemboja, Thong Mengdavid mengaitkan lonjakan tersebut dengan momentum perkilangan negara yang kukuh serta permintaan global yang semakin meningkat terhadap mod pengangkutan mesra alam.
"Pertumbuhan ini dipacu oleh akses yang lebih baik kepada rantaian bekalan serantau serta peningkatan pesanan daripada pasaran-pasaran utama," katanya sambil menambah bahawa basikal terus mendapat sambutan sebagai pilihan yang bersih dan hijau untuk alam sekitar.
-- BERNAMA-XINHUA