Skip to main content

Dunia

Kemboja rasmikan tugu peringatan tikus pengesan periuk api terkenal

 From minefields to monument: Cambodia unveils statue to honour demining rat
Tugu pertama seumpamanya di dunia itu didirikan di Siem Reap, sempena Hari Kesedaran Periuk Api Antarabangsa pada 4 April. - Foto REUTERS

SIEM REAP: Sebuah tugu peringatan khas telah dirasmikan di Kemboja bagi menghormati Magawa, seekor tikus pengesan periuk api yang terkenal di peringkat antarabangsa atas jasa besarnya menyelamatkan nyawa.

Tugu pertama seumpamanya di dunia itu didirikan di Siem Reap pada Jumaat, sempena Hari Kesedaran Periuk Api Antarabangsa pada 4 April.

Advertisement

Arca berkenaan dihasilkan daripada batu tempatan oleh tukang ukir tempatan.

Magawa, seekor tikus gergasi Afrika yang dilatih oleh badan amal Belgium, Apopo, berjaya mengesan lebih 100 periuk api dan bahan letupan tidak meletup sepanjang tempoh perkhidmatannya di Kemboja bermula 2016.

Dalam kira-kira lima tahun, Magawa membersihkan lebih 141,000 meter persegi tanah tercemar, bersamaan hampir 20 padang bola sepak.

Menggunakan deria bau yang sangat tajam, Magawa dilatih mengesan sebatian kimia dalam bahan letupan sebelum memberi isyarat kepada pengendali manusia untuk menandakan lokasi periuk api bagi kerja pelupusan selamat.

Pada 2020, Magawa mencipta sejarah apabila dianugerahkan Pingat Emas PDSA, pengiktirafan tertinggi untuk haiwan yang digelar “George Cross untuk haiwan”, atas dedikasinya menyelamatkan nyawa.

Magawa merupakan tikus pertama menerima anugerah itu dalam sejarah 77 tahun badan kebajikan terbabit.

Magawa disahkan mati pada 2022 pada usia lapan tahun, selepas bersara kerana faktor usia.

Pengurus Program Apopo di Kemboja, Michael Raine, berkata tugu berkenaan menjadi peringatan bahawa ancaman periuk api masih serius di negara itu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih satu juta penduduk Kemboja masih hidup dan bekerja di kawasan yang tercemar dengan periuk api dan bahan letupan peninggalan perang.

Kemboja menyasarkan untuk menjadi negara bebas periuk api sepenuhnya menjelang 2030.

Apopo telah melatih tikus pengesan, dikenali sebagai HeroRATS, sejak 1990-an.

Disebabkan berat badan yang ringan, tikus-tikus ini tidak mencetuskan letupan periuk api, menjadikannya kaedah yang lebih selamat berbanding pembersihan manual.

Selain periuk api, HeroRATS turut digunakan untuk mengesan penyakit batuk kering dan membantu mencegah penyeludupan hidupan liar.

Pada 2025, seekor lagi tikus terlatih Apopo, Ronin, memecahkan rekod dunia dengan mengesan lebih banyak periuk api dan bahan letupan di wilayah Preah Vihear, mengatasi pencapaian Magawa.

 

Must Watch Video