Kemboja tutup pintu sempadan dengan Thailand ketika pertempuran terus memuncak

Orang ramai menunggu untuk menerima bekalan di kem pelarian Wat Por Sovannaram, di tengah-tengah pertempuran antara Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikaikan. - Foto REUTERS
PHNOM PENH: Kerajaan Kemboja mengumumkan penutupan semua pintu sempadan dengan Thailand serta-merta pada Sabtu, ketika pertempuran sengit antara kedua-dua negara jiran itu terus berlarutan meskipun terdapat dakwaan gencatan senjata.
Kementerian Dalam Negeri Kemboja dalam satu kenyataan berkata, semua pergerakan keluar masuk di sempadan Kemboja–Thailand digantung sehingga diberitahu kelak.
Langkah itu diambil selepas serangan udara oleh tentera Thailand dilaporkan berterusan, termasuk penggunaan jet pejuang F-16 yang menjatuhkan bom ke atas beberapa sasaran di wilayah sempadan pada 13 Disember.
Pertempuran yang berlarutan sejak Mei 2025 berpunca daripada pertikaian sempadan sepanjang 800 kilometer yang telah lama menjadi isu antara kedua-dua negara.
Setakat minggu ini sahaja, sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan terbunuh, termasuk empat anggota tentera Thailand.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini mendakwa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.
Namun, kenyataan itu dinafikan oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, yang menegaskan bahawa tiada persetujuan rasmi dicapai dan operasi ketenteraan akan diteruskan selagi ancaman berterusan.
Pertempuran ini telah menyebabkan kira-kira setengah juta penduduk di kedua-dua belah sempadan dipindahkan, dengan ramai mencari perlindungan di kem sementara di wilayah Banteay Meanchey dan Buriram.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


