WASHINGTON: Kementerian Luar Iran pada Selasa mengecam penahanan baru-baru ini oleh tentera Amerika Syarikat (AS) terhadap sebuah kapal kargo yang didakwa cuba mengelak sekatan ke atas pelabuhan Iran, lapor Anadolu Ajanssi.
“Kementerian Luar Republik Islam Iran mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyalahi undang-undang dan ganas oleh ‘tentera pengganas’ AS dalam menyerang kapal komersial Iran ‘Touska,’ yang berlaku pada Ahad,” menurut kementerian itu dalam kenyataan.
Advertisement
Menggelar insiden itu sebagai satu "bentuk lanun maritim dan tindakan pengganas," kenyataan itu menegaskan tindakan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa, serta gencatan senjata selama dua minggu dengan AS yang bermula pada 7 April.
Kementerian berkenaan menuntut pembebasan kapal berbendera Iran itu serta anak kapalnya serta keluarga mereka.
"Tanpa ragu-ragu lagi, Republik Islam Iran akan menggunakan semua kapasitinya untuk mempertahankan kepentingan dan keselamatan negaranya, dan untuk memelihara hak serta maruah rakyat Iran," katanya sambil menegaskan bahawa AS bertanggungjawab atas "peningkatan selanjutnya".
Komando Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan pada Ahad, tentera laut AS merampas kapal kargo berbendera Iran TOUSKA di Teluk Oman selepas ia dilaporkan enggan mematuhi arahan sekatan.
Menurut CENTCOM pada Isnin, tentera AS telah mengarahkan 27 kapal komersial untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan Iran sejak sekatan tentera laut di pelabuhan Iran bermula pada 13 April.
-- BERNAMA-ANADOLU